Zoo Melaka & Night Safari bawa 2 spesies baru 2019

Zoo Melaka & Night Safari bawa 2 spesies baru 2019

AYER KEROH 5 Dis. – Dua spesies haiwan baharu bakal dilawati pengunjung di Zoo Melaka & Night Safari bermula tahun depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mahani Masban berkata, inisiatif itu bagi mencapai sasaran sejuta pelancong ke Zoo Melaka tahun 2019.

Menurutnya, dua spesies haiwan itu termasuklah 10 ekor kanggaru jenis Wallaby dan tiga ekor helang merah hasil pertukaran dari zoo di negeri-negeri lain.

“Pertukaran ini melibatkan Zoo Melaka dan Zoo Taiping, Perak bagi 10 ekor Wallaby dan Underwater World Langkawi, Kedah (dua ekor helang merah).

“Manakala, seekor lagi helang merah hasil pertukaran dengan Penang Bird Park, Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, usaha ini masih dalam perbincangan dan mengambil masa kira-kira tiga hingga enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Zootastic di Zoo Melaka sempena cuti sekolah di zoo berkenaan di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi mencapai sasaran sejuta pelancong memasuki negeri ini, pelbagai penambahbaikan insfrastruktur dan program kerjasama akan dilaksanakan.

“Ini termasuk kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan zoo-zoo seluruh Malaysia untuk membawa masuk lebih banyak haiwan baru ke sini.

“Pelbagai aktiviti disediakan sempena cuti sekolah ini seperti Program Zootastic dan diskaun istimewa kepada anak-anak Melaka untuk merasai pengalaman di Night Safari sehingga 31 Disember ini,” katanya.

Katanya, melalui program itu pengunjung berpeluang memberi makanan kepada haiwan yang terdapat dalam Mini Safari Zoo seperti rusa, unta dan lain-lain.

CATEGORIES