Zainal ikat  kontrak bersama MU minggu depan

Zainal ikat kontrak bersama MU minggu depan

 

BEKAS pengendali Selangor, Pahang dan Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan dijangka menandatangani kontrak sebagai Ketua Jurulatih baharu Melaka United (MU), menggantikan E.Elavarasan minggu depan.

Pemilihan Zainal mengisi kerusi panas ditinggalkan Elavarasan mengetepikan calon lain, antaranya Mat Zan Mat Aris, K. Devan dan bekas jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim berkata, perkara itu telah diputuskan oleh Presiden MUSA, Adly Zahari semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif MUSA, malam tadi.

Katanya, Adly memilih Zainal berdasarkan pengalaman dan beberapa faktor lain dimilikinya yang dijangka mampu melonjakkan jenama MU bagi saingan musim depan.

“MUSA telah membuat keputusan memilih Zainal malam tadi semasa berbincang dalam mesyuarat berkenaan.

“Zainal mungkin menandatangani kontrak sebagai pengendali MU pada Isnin atau Selasa depan,” katanya.

Pengesahan pemilihan Zainal Ketua Jurulatih MU menamatkan teka-teki terhadap pemilihan calon yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan Elavarasan selepas beliau memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama Sang Kancil, musim depan.

Minggu lalu, nama Zainal hangat diperkatakan akan mengisi kekosongan berkenaan sebelum Adly memberitahu beliau hanyalah salah seorang calon yang telah disenarai pendek.

711 Shares
CATEGORIES
TAGS

COMMENTS