Warga emas perlu perkasa gaya hidup sihat

Warga emas perlu perkasa gaya hidup sihat

AYER KEROH 8 Nov. – Kerajaan negeri terus memastikan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan warga emas kekal sihat, aktif dan produktif.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli, Ginie Lim Siew Lin berkata, ia termasuk mewujudkan semangat bersenam bagi memperkasa gaya hidup sihat.

Menurutnya, semangat tersebut dapat memupuk dan mengamalkan sikap menjaga kesihatan warga emas.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga terus berusaha mensejahterakan warga emas untuk menikmati kehidupan yang sempurna dan tidak terpinggir.

“Ini termasuk kesejahteraan warga emas dalam konteks dasar lima dimensi utama iaitu dimensi kesihatan (penuaan sihat), sosial (penuaan aktif), ekonomi (penuaan produktif), kerohanian (penuaan positif) dan persekitaran (penuaan menyokong),” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian program ‘Seiring & Sejalan Seribu Langkah’ sempena Sambutan Hari Warga Emas Peringkat JKM Negeri Tahun 2018 di Taman Botanikal, baru-baru ini.

Jelasnya, masyarakat sering beranggapan bahawa warga emas sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.

“Ini tanggapan yang salah, walaupun tua dan sudah berusia, warga emas sepatutnya perlu bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti supaya dapat meneruskan jasa dan menabur bakti ke arah pembangunan negara,” katanya.

Katanya, Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan itu diadakan pada 1 Oktober setiap tahun.

CATEGORIES

COMMENTS