UTeM tingkatkan penguasaan bahasa pelajar

UTeM tingkatkan penguasaan bahasa pelajar

ANTARA pelajar serta warga UTeM yang hadir.

DURIAN TUNGGAL 1 Nov. – Usaha Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengadakan Karnival Bahasa Ketiga mendapat pujian Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Shahrin berkata, antara peranan yang dimainkan PBPI UTeM adalah memberi pendedahan, mempertingkatkan potensi diri dan kemahiran menguasai pelbagai bahasa dalam kalangan pelajarnya.

Menurutnya, PBPI juga menjadi pusat rujukan bahasa dan pembangunan insan dalam kalangan pelajar UTeM selain menyemai nilai-nilai murni, khususnya dalam pembangunan kemahiran insaniah dan perkembangan ‘soft skill’ kalangan pelajar.

Katanya, PBPI juga berperanan memperkasakan bahasa, sama ada bahasa ibunda, bahasa kedua atau bahasa ketiga.

“PBPI UTeM kini menawarkan bahasa Jepun, Mandarin, Arab, Jerman dan Korea dalam kalangan pelajarnya dan berharap dapat perkembangkan penawaran dalam bahasa-bahasa lain pada masa depan.

“Antara kebaikan menguasai banyak bahasa dalam kalangan pelajar UTeM ialah mereka lebih mudah berhubung atau berkomunikasi.

“Selain, memberi nilai tambah sebagai individu yang boleh berbahasa lebih dari satu (multilingual) untuk bersaing di peringkat global dan glokal,” katanya.

Shahrin berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Bahasa Ketiga PBPI di UTeM di sini, Rabu lalu.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd. Manap.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa, Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad; Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Datuk Dr. Abu Abdullah; Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat (JAIMAS), Prof. Dr. Goh Ong Sing dan Dekan PBPI, Dr. Zawiah Mat serta para pensyarah.

Jelas Shahrin lagi, dengan menguasai pelbagai bahasa, ia dapat memberi keunikan tersendiri kepada para pelajar, lebih dihormati, dipandang tinggi dan mudah mendapat pekerjaan sekiranya memahami perbualan dan berkemahiran bertutur dalam bahasa asing.

“Dengan memahami bahasa lain, sekali gus seseorang pelajar itu akan dapat memahami budaya lain melalui pembacaan dan dapat berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Karnival Bahasa Ketiga UTeM 2018 melibatkan lima bahasa sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran yang lebih memberi tumpuan kepada empat kemahiran bahasa iaitu bertutur, mendengar, membaca dan menulis.

Selain itu, karnival itu juga turut mengadakan Pertandingan Kaligrafi Bahasa Jepun, ‘charade’ bahasa Arab, demo masakan Jepun, filem pendek bahasa Mandarin dan poster ‘Korean Culture’.

CATEGORIES