UPR: Kerajaan tetap pertahan perkara asas Perlembagaan

UPR: Kerajaan tetap pertahan perkara asas Perlembagaan

PUTRAJAYA – Kerajaan tetap akan mempertahankan perkara-perkara asas yang berkaitan dengan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu iaitu Perkara 3, 152, dan 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Berucap pada tayangan pembentangan Semakan Berkala Sejagat (UPR) oleh Malaysia yang berlangsung di Geneva, Switzerland malam ini, beliau berkata terdapat salah faham oleh sesetengah pihak berkaitan langkah kerajaan untuk meratifikasi sesetengah konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia.

“Ada atau tidak UPR atau konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia, Malaysia masih perlu membaiki undang-undangnya berkaitan perkara itu.

“Kita tetap perlu mansuhkan beberapa undang-undang yang bersifat drakonian, meminda undang-undang tertentu dan mengemukakan undang-undang baharu seperti kesaksamaan gender dan sebagainya,” katanya pada sesi tayangan itu yang diadakan di Wisma Putra, di sini.

Beliau berkata tindakan sesetengah pihak seperti UMNO yang menentang langkah kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), hanya bertujuan menunjukkan bahawa mereka adalah hero orang Melayu.

Menurut Saifuddin, kerajaan tidak terburu-buru untuk meratifikasi kesemua enam konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi yang belum ditandatangani Malaysia termasuk ICERD.

“Kita akan buat satu demi satu, bermula dengan yang mudah dan tidak terlalu sensitif, mungkin yang agak sensitif seperti ICERD itu lambat sedikit,” katanya.

Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Ramlan Ibrahim ketika membentangkan laporan Malaysia bagi kitaran ketiga (Nov 2013 – Mac 2018) UPR, berkata kerajaan Malaysia komited untuk menyertai baki enam instrumen hak asasi manusia termasuk ICERD.

Instrumen lain ialah Kovenan mengenai Hak Sivil dan Politik; Kovenan Antarabangsa bagi Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan; Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa; Konvensyen Menentang Penderaan; dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Pekerja Migran dan Anggota Keluarganya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS