TRRM rangka pelan kontingensi elak ‘Plain Tiger’ pupus

TRRM rangka pelan kontingensi elak ‘Plain Tiger’ pupus

SEORANG kakitangan TRRM menunjukkan ulat beluncas spesies Plain Tiger yang sering dihapuskan kerana dianggap merosakkan tanaman.

AYER KEROH 7 Sept. – Melaka bakal menjadi negeri perintis kepada penanaman ‘Giant Milkweed’ iaitu sejenis pokok perumah kepada spesies rama-rama Plain Tiger (Danaus Chrysippus) di taman-taman perumahan.

Pegawai Pemasaran dan Pendidikan Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRM) Norashyikin Zainudin berkata, langkah itu  bagi menggalakkan orang ramai membiakkan spesies itu di negeri ini, dalam masa sama mewarnai persekitaran dengan keindahan flora dan fauna.

Katanya, inisiatif itu masih lagi diperingkat cadangan dan belum dikemukakan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari untuk dilaksanakan.

“Ini adalah rancangan kita supaya kemandirian rama-rama spesies ini terpelihara kerana ia antara spesies yang terancam dan jarang dijumpai.

“Antara lain, memberi kesedaran kepada orang ramai dan membetulkan fahaman salah terhadap ulat beluncas spesies rama-rama itu yang dianggap sebagai serangga perosak menyebabkan banyak pokok perumahnya dimusnahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di TRRM, di sini pagi tadi.

Rama-rama spesies Plain Tiger mudah dikenali dengan tiga warna spektrum jingga yang memenuhi di bahagian atas sayapnya dan mempunyai corak hampir sama dengan spesis MONARCH dari luar negara.

Jantina spesies itu boleh dikenalipasti dengan jelas melalui corak pada sayapnya iaitu jantan terdapat tiga tompokan hitam, manakala betina empat tompokan hitam.

Seperti binatang lain, spesies itu juga menyimpan toksik di dalam badan sebagai pelindungan diri, namun tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada manusia.

Spesies rama-rama itu juga boleh dijumpai di beberapa kawasan di Asia dan Afrika, bagaimanapun akibat projek pembangunan di bahagian bandar, ia kini diancam kepupusan.

Dalam perkembangan sama, TRRM turut mempromosikan Program Kelestarian Plain Tiger, supaya kepentingan spesies itu terpelihara.

“Menerusi program ini, kesedaran orang ramai terhadap spesies ini dapat dipertingkat.

“Dan dapat menggalakkan orang ramai menanam pokok perumah di seluruh negeri dengan harapan mampu meningkatkan produktiviti spesies ini,” katanya.

TRRM yang dibuka sejak 1 Februari 1991, menempatkan kira-kira 60 ekor spesies rama-rama dan membiakkan purata 200,000 rama-rama setiap tahun.

CATEGORIES
TAGS