TMM 2019 sasar 20 juta pelancong

TMM 2019 sasar 20 juta pelancong

AYER KEROH 5 Dis. – Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka menyasarkan 20 juta pelancong ke negeri ini tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2019.

Pengurus Kanan Tourism Melaka, Asmaliana Ashari berkata, pihaknya sudah memulakan promosi #visitmelaka2019 sejak Ogos lalu.

Menurutnya, ia selaras dengan tagline ‘Melaka The Gateway to Historic Malaysia’ yang telah dipersetujui oleh kerajaan negeri bagi Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019).

Katanya, pihaknya sasarkan seramai 20 juta pelancong tahun hadapan, tahun ini pihaknya telah menerima seramai 10 juta pelancong sehingga Oktober lalu.

“Kita jangka kedatangan pelancong ke Melaka lebih ramai lagi memandangkan bulan Disember musim cuti sekolah, sekurang-kurangnya tiga juta pelancong dapat dicapai bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Zootastic di Zoo Melaka sempena cuti sekolah di zoo berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, semua pihak perlu bekerjasama mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di Melaka.

“Kita perlu kerjasama semua pihak untuk menaik taraf produk sedia ada, kerajaan negeri juga akan bantu mempromosi produk pelancongan yang ada di negeri ini.

“Tahun 2017, kita terima 16.8 juta pelancong, diharap tahun ini kita dapat capai sasaran 17 juta pelancong,” katanya.

Jelasnya, di Melaka terdapat 796 tempat pelancongan ditawarkan merangkumi 13 sub sektor pelancongan.

“Zoo Melaka salah satu di bawah pelancongan rekreasi dan pelancongan pendidikan.

“Selain zoo, kita cuba mencari satu daya tarikan baharu supaya apabila pelancong datang ke Melaka mereka tidak merasa bosan,” katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri juga memperkenalkan kupon khas diskaun yang menawarkan 28 tempat tarikan pelancongan.

“Pelancong dapat diskaun sebanyak 20 peratus bagi 28 tempat pelancongan tersebut yang ditawarkan.

“Mereka yang ingin mendapatkannya boleh pergi ke pusat pelancongan dan Tourism Melaka,” katanya.

CATEGORIES