TMM 2019 : Kerajaan negeri pelawa kelab & persatuan adakan aktiviti

TMM 2019 : Kerajaan negeri pelawa kelab & persatuan adakan aktiviti

AYER KEROH 11 Jan. – Kerajaan negeri mempelawa mana-mana persatuan atau kelab di negeri dan negara ini mengadakan sebarang program dan aktiviti di Melaka bagi memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, usaha itu untuk menarik seberapa ramai pengunjung datang ke Melaka, sekali gus dapat memeriahkan lagi TMM 2019 ini.

Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan program sebegini, bukan hanya Persatuan Pemilik Lori Tipper Dumper & Simen Mixer Melaka ini, malah apa saja persatuan berhajat mengadakan program, diharap dapat diadakan di negeri ini.

“Ianya dapat meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke Melaka dan kita juga sedia memberi ruang kepada persatuan-persatuan yang ada untuk bekerjasama bagi menjayakan program mahupun aktiviti yang mereka rancangkan.

“Pada masa sama, kita sedia mendengar apa juga aduan dan permasalahan dihadapi kelab dan persatuan-persatuan ini.

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima makluman balas berkaitan isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.

Mohd Sofi berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Lori Pengangkutan Sempena Ulang Tahun Ke-5 Persatuan Pemilik Lori Tipper Dumper & Simen Mixer Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemilik Lori Tipper Dumper & Simen Mixer Melaka, Koh Bing Liyong, Naib-naib pengerusi serta jawatankuasa persatuan terbabit.

154 Shares
CATEGORIES