Tingkat ukhuwah sesama asnaf

Tingkat ukhuwah sesama asnaf

MASJID TANAH – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui Bahagian Pembangunan Insan telah mengadakan Kursus Ikon Keluarga Islamiah bagi daerah Alor Gajah baru-baru ini.

Kursus selama tiga hari itu telah diadakan di Kompleks Falak Al-Khawarizmi (KFAK), Masjid Tanah telah dihadiri seramai 130 orang yang terdiri daripada penerima bantuan MAIM.

Program itu merupakan kesinambungan program yang terdahulu bagi memberi peluang kepada keluarga asnaf mengukuhkan institusi keluarga dengan lebih baik.

Pengukuhan dalam bentuk ilmu pengetahuan antaranya mengamalkan komunikasi berhikmah dan bijaksana dalam usaha membentuk keluarga sakinah.

Pengisian ilmu kepimpinan Islam dalam keluarga amat dititikberatkan dalam kursus berkenaan bagi menyemai sikap sayangi keluarga dengan penuh kemanisan iman.

Pendidikan agama perlu diterapkan dengan penuh keinsafan bagi membentuk keluarga yang harmoni di samping memupuk semangat kerohanian dalam diri setiap ahli keluarga.

Daya usaha yang ada juga perlu dipertingkatkan untuk mengukuhkan kesejahteraan institusi kekeluargaan bagi menyelesaikan masalah sahsiah yang semakin berlelulasa ketika ini.

Ibu dan bapa sebagai pengemudi bahtera rumah tangga haruslah sentiasa mengekalkan kemesraan tali percintaan mereka bagi menyemai rasa kasih dan sayang bersama anak-anak mereka.

Matlamat mewujudkan keluarga syurgawi dalam kalangan asnaf pasti akan tercapai dengan perlaksanaan segala pengisian objektif program itu dan mewujudkan keluarga sakinah disulami mawaddah serta rahmat ilahi.

CATEGORIES