Tiga premis dipotong bekalan elektrik

Tiga premis dipotong bekalan elektrik

AFZANIZAR melihat kerja pemotongan elektrik dilakukan seorang anggota TNB pada Operasi Dadu yang dijalankan di beberapa premis sekitar Taman Merdeka, sebentar tadi.

BANDARAYA MELAKA 11 Okt. – Sebanyak tiga premis yang menjalankan kegiatan menjual loteri awam tanpa lesen sekitar Taman Merdeka dipotong bekalan elektrik dalam Operasi Dadu sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, operasi pembasmian aktiviti judi haram itu turut melibatkan kerjasama anggota Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, tindakan memotong elektrik dan serbuan kali ini dibuat terhadap premis yang masih berdegil menjalankan perniagaan tanpa lesen dan ada diantaranya telah beberapa kali diserbu.

“Bagi menggelakkan premis-premis ini dari terus beroperasi, ini tindakan pencegahan telah diambil
supaya aktiviti menjual loteri awam tanpa lesen tidak diteruskan di premis terlibat.

“Kebanyakkan mereka berselindung di sebalik,  kedai menjual kad tambah nilai prabayar telefon dan kedai makan,” katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Menurut Afzanizar, tiada sitaan yang dilakukan semasa serbuan, bagaimanapun menurutnya, dari Januari hingga 10 Oktober 2018, PDRM Melaka Tengah telah melakukan 158 serbuan, merangkumi 226 orang ditangkap melibatkan nilai rampasan RM12, 718 (judi atas talian), loteri awam tanpa lesen (RM6,315) dan RM1,243 (lain-lain judi).

“Bagi tempoh sama tahun lepas, 82 serbuan telah dibuat merangkumi 186 orang ditangkap yang melibatkan nilai rampasan RM14,250 (judi atas talian), RM6327 (loteri awam tanpa lesen) dan RM900 (lain-lain judi) di kawasan Melaka Tengah,”katanya.

Kesemua premis terlibat akan disiasat dibawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan tindakan dibaca bersama Seksyen 38(1A) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Sehingga Oktober ini, sebanyak 14 buah premis telah dipotong elektrik kerana disyaki menjalankan penjualan loteri awam tanpa lesen.

CATEGORIES