Tiada lagi kuasa kroni

Tiada lagi kuasa kroni

BANDARAYA MELAKA 24 Jun – Semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka tidak lagi punyai kuasa sebagai panel dalam Jawatankuasa Perolehan dan Tender dikuat kuasa kerajaan negeri, Jumaat lalu.

Larangan yang berkuatkuasa minggu lalu memutuskan Ahli Majlis yang dilantik kerajaan hanya berkuasa sebagai pemerhati bagi menggelakkan pengaruh kroni selain memastikan ketelusan proses perolehan tender.

Exco Perumahan Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew berkata, larangan itu turut melibatkan Ketua Menteri, Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Yang Dipertua (YDP), Datuk Bandar serta Ahli Majlis dan ahli keluarga terdekat dilarang menender kontrak di semua PBT.

“Bagaimanapun, Ahli Majlis hanya dilarang terlibat dengan sebarang kontrak di PBT mereka saja. Malah, tindakan untuk urus niaga silang iaitu menender kontrak di PBT lain juga tidak digalakkan bagi mereka.

“Mereka seharusnya meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya mengambil peluang mengkayakan diri sendiri.
“Surat sokongan dikemukakan mana-mana pihak berkenaan juga bukanlah satu arahan yang perlu dituruti oleh penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan & Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Banda Hilir, Jumaat lalu.

1.32K Shares
CATEGORIES