Tiada kuil Hindu dibina di Pulau Besar

Tiada kuil Hindu dibina di Pulau Besar

AYER KEROH 5 Dis. – Tiada sebarang pembinaan kuil Hindu didirikan bagi tujuan amalan khurafat berlaku di Pulau Besar.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, isu pembinaan kuil Hindu di pulau tersebut tidak benar setelah ianya tular di media sosial dua hari lalu.

Katanya, tiada sebarang bangunan baharu dibina sebagai kawasan pemujaan oleh penganut bukan Islam di pulau tersebut.

Jelasnya, Pulau Besar sering menjadi tempat pemujaan oleh penganut bukan Islam yang mempercayai fahaman karut di pulau tersebut.

“Pihak kami kesal dengan tindakan masyarakat tular perkara yang tidak benar, malah hasil tinjauan kami memang tiada sebarang pembinaan baharu di kawasan itu.

“Kita akui memang ada aktiviti karut dilakukan di Pulau Besar dan pemantauan sering dijalankan.

“Malah, kami akan musnahkan jika sebarang peralatan pemujaan diletakkan di kawasan tersebut sebagai aktiviti pemujaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rahimin berkata, kebanyakan aktiviti pemujaan di kawasan itu melibatkan beberapa makam, busut dan pokok yang mencemarkan imej pelancongan negeri.

“Tindakan bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain akan terus dijalankan bagi mengelakkan kawasan terbabit turut terkesan dengan aktiviti jenayah seperti penagihan dadah, penempatan haram dan lain-lain.

“Sekiranya aktiviti pemujaan dilakukan oleh individu beragama Islam mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991,” kata Rahimin.

Menurutnya, ini kerana perbuatan mereka melanggar hukum Syarak, mengikut seksyen tersebut, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya.

205 Shares
CATEGORIES
TAGS