Tiada caj parkir di Jasin setiap Sabtu, Ahad & cuti umum

Tiada caj parkir di Jasin setiap Sabtu, Ahad & cuti umum

JASIN 24 Jun – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) tidak lagi mengenakan caj parkir pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula Jumaat lalu.

Langkah dilaksanakan MPJ minggu lalu serupa tindakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang melaksanakannya sejak 15 Jun lalu.

Pelaksanaan tersebut melibatkan 2,811 petak parkir kereta dalam zon pentadbirannya sama ada dikendalikan MPJ atau diswastakan bertujuan mendidik dan mendisiplinkan pengguna kenderaan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew berkata, menurut rekod, 800 petak letak kereta di Bandar Jasin disewakan kepada satu syarikat swasta.

Manakala bakinya diuruskan oleh MPJ dengan kutipan purata sebanyak RM40,000 sebulan di mana kutipan dilaksanakan mulai Isnin sehingga Sabtu sebelum ini.

Katanya, pelaksanaan petak letak kereta percuma itu akan memberikan impak ekonomi secara langsung di daerah Jasin.

“Selain mendisiplinkan pengguna kenderaan menggunakan petak letak kereta dengan betul, langkah ini menggalakkan masyarakat datang berbelanja di sini setiap minggu.

“Namun, penguatkuasaan masih dijalankan bagi menggelakkan pengguna kenderaan menyalahi peraturan ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Parkir Kereta Percuma di sini, Jumaat lalu yang turut dihadiri Yang Dipertua MPJ, Mustaffa Ali.

Kok Kiew berkata, langkah pelaksanaan petak letak kereta percuma di seluruh Melaka bakal mengurangkan kutipan petak letak kereta yang dianggarkan RM2 juta setahun.

CATEGORIES