Tempat warga asing melepak & gelandangan tumpang tidur cemar imej Melaka Sentral

Tempat warga asing melepak & gelandangan tumpang tidur cemar imej Melaka Sentral

WARGA asing yang memenuhi sekitar Melaka Sentral pada setiap hujung minggu atau hari kelepasan am.

PERINGGIT 17 Okt. – Lokasinya cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah kawasan tumpuan awam berhampiran Hospital Melaka, pasar lama, pusat beli-belah Tesco dan AEON Bandaraya.

Selain menjadi hab pengangkutan kepada perjalanan bas ekspres dan bas tempatan yang turut menawarkan perkhidmatan di situ ialah bas-bas rangkaian pengangkutan yang menurun dan mengambil penumpang.

Dalam usaha merealisasikan Melaka sebagai sebuah bandar raya, usaha memulih dan membangunkan semula Stesen Bas Melaka Sentral ini tidak harus dipandang sebelah mata.

Ini kerana ia juga merupakan salah satu mercu tanda Bandaraya Melaka kerana stesen bas merupakan antara lokasi yang sering dikunjungi pelancong tempatan mahupun asing untuk ke destinasi lain.

Sama seperti perhentian bas lain di ibu kota, pengguna stesen bas ini juga didakwa sering terdedah kepada pelbagai jenayah tanpa perlu menunggu mentari melabuhkan tirainya termasuklah kejadian ragut, pukau dan pergaduhan yang turut berlaku pada siang hari.

Difahamkan, pengawal keselamatan yang ditugaskan di kawasan itu tidak bertanggungjawab atas keselamatan orang ramai.

Salah seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali mengakui, tugasnya hanya menguruskan kelancaran perjalanan bas ekspres yang keluar masuk di kawasan itu selain memastikan keselamatan harta benda milik Melaka Sentral.

Bagaimanapun, rondaan oleh anggota polis dari balai polis berhampiran sedikit sebanyak membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan itu.

DIPENUHI WARGA ASING

Setiap kali cuti umum, Melaka Sentral tidak ubah seperti negara luar apabila menjadi tumpuan warga asing dari pelbagai negara, antaranya Bangladesh, Nepal, India, Vietnam, Myanmar dan Indonesia menghabiskan masa mereka di kawasan berkenaan.

Lambakan warga asing yang melepak menghabiskan masa hujung minggu di Terminal Melaka Sentral, ternyata membimbangkan rakyat tempatan.

Biarpun warga asing tidak melakukan sebarang kegiatan jenayah, namun kewujudan mereka beramai-ramai sehingga memenuhi setiap ruang terminal bas itu ternyata merimaskan.

Situasi itu turut menyebabkan orang ramai yang berada di Melaka Sentral seolah-olah merasakan mereka berada di negara asing dengan keriuhan gelagat warga asing terbabit.

Mereka dipercayai bekerja di negeri ini dan mengambil peluang menghabiskan cuti hujung minggu atau cuti umum di bandar dan menjadikan pengangkutan awam sebagai kenderaan mereka untuk ke sana-sini.

Deretan kedai di jalan tersebut menjadi lokasi pilihan mereka setiap kali cuti umum untuk berkumpul bersama rakan-rakan senegara.

Malah, ada juga keluar untuk membeli-belah di kedai menjual barangan pakaian dan keperluan asas berhampiran.

Seorang peniaga, Mohd Nasruddin Jamil, 36, berkata, lokasi di Melaka Sentral sudah menjadi minat warga asing untuk melepak setiap kali cuti umum.

“Deretan kedai di sini akan dipenuhi warga asing. Mereka akan duduk di kaki lima bersembang dan mereka juga didapati tidak menitikberatkan kebersihan sehingga menimbulkan bau kurang menyenangkan setiap kali terpaksa berkongsi bas dengan warga asing tersebut.

“Namun, walaupun rimas dengan situasi tersebut, saya akui lambakan warga asing mendatangkan rezeki kepada perniagaan saya.

“Ada pro dan kontra. Bila ramai di antara mereka lepak di sini, kita jadi rimas, tapi bagi peniaga ia ibarat rezeki kerana mereka akan datang membeli barang di kedai kami,” katanya yang menjual tambah nilai prabayar telefon bimbit di situ.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Jamilah Abdullah, 52, berkata, dia sentiasa melihat ramai warga asing berada di lokasi tersebut terutama pada waktu cuti dan hujung minggu.

“Saya datang ke sini bersama adik dan berhasrat untuk ke Pasar Raya Tesco dan tak sangka pula, ramai warga asing melepak di kawasan ini.

“Rimas juga melihat mereka, tapi kita kena hati-hati sebab mereka ramai. biasanya mereka tidak buat kacau, hanya sekadar lepak bersama kawan senegara.

“Saya bukanlah kerap sangat menggunakan bas, hanya pada waktu cuti saja. Tetapi setiap kali saya ke sini, saya dapat anggarkan kira-kira 60 peratus pengunjung pada hujung minggu adalah warga asing,” katanya.

Justeru, Jamilah meminta pihak berkuasa mencari jalan mengatasi lambakan warga asing tersebut bagi mengelakkan kemungkinan masalah seperti jenayah atau mencemarkan imej bandar.

TUMPUAN GELANDANGAN

Melaka Sentral juga terus dijadikan gelandangan sebagai tempat ‘menumpang teduh’ terutama pada waktu malam, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna.

Masalah itu dikatakan tidak berkesudahan walaupun pihak berkuasa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa pihak NGO yamg prihatin sering juga membuat rondaan dan tindakan.

Tinjauan MelakaKini di hentian bas itu mendapati, tidak kurang lima hingga 10 gelandangan akan singgah bermula dengan duduk berehat di bangku luar, kemudian di tempat menunggu bas di dalam kompleks sebelum mereka tidur sehingga awal pagi.

Seorang peniaga di hentian bas itu yang hanya mahu dikenali sebagai Shahreza Kasim, 32, berkata, gelandangan tegar kebiasaannya bukan sahaja menumpang rehat beberapa jam di situ, tetapi tidur sehingga awal pagi.

“Pihak berkuasa ada buat rondaan dan mereka akan hilang sekejap, mungkin mencari ‘port’ lain, tetapi selang dua tiga hari mereka akan kembali lagi.

“Kasihan juga lihat kebanyakan mereka tidur beralaskan kotak dan berbantalkan plastik berisi barangan terbuang terutama jika hujan,” katanya yang menjalan perniagaan makanan di situ.

Beliau bagaimanapun berkata, gelandangan itu tidak mengganggu orang awam, tetapi kehadirannya dilihat mencemarkan pandangan terutama dalam kalangan pelancong asing ke negeri ini.

Seorang penumpang bas, Nurul Nasuha Arshad, 19, berkata, sebagai remaja dia bimbang melihat kehadiran ramai gelandangan di hentian itu kerana ia menyebabkan orang ramai berasa tidak selesa dan tidak selamat.

“Saya tidak pernah berdepan ancaman atau gangguan gelandangan, tetapi takut juga lihat mereka. Lebih tidak selesa apabila setiap kali melalui kawasan berhampiran mereka duduk, bau busuk menusuk hidung.

“Bagi saya, walaupun mereka tidak datang dekat dan mengganggu, rasa takut tetap ada. Lagipun ia meninggalkan imej tidak baik untuk negeri ini.

“Apatah lagi hentian bas ini menjadi pintu masuk utama pelancong luar ke negeri ini yang menggunakan pengangkutan awam bas,” katanya.

CATEGORIES