Kerajaan tunai janji

Kerajaan tunai janji

AYER KEROH 21 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengabaikan hak pemilik tanah pajakan berstatus ‘leasehold’ yang didiami kepada tanah adat Melaka atau Malacca Customary Land (MCL) bagi menaik taraf nilaian hartanah masing-masing.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pihaknya sudahpun memulakan kerja-kerja pengiktirafan tanah hak adat berikutan kebimbangan masyarakat di negeri ini berhubung keperluan menyelesaikan isu tersebut untuk menjadikan pegangan pajakan kepada hak milik sendiri.

Katanya, kerajaan negeri komited menyelesaikan isu pemberian hak milik tanah tersebut melibatkan beberapa kawasan di bandar dan juga di beberapa kawasan kampung dengan bayaran nominal RM1,000 sahaja.

“Usaha itu juga bagi menunaikan janji kerajan PH untuk memberi hak milik tanah kepada penduduk terlibat seperti terkandung dalam manifesto PH di peringkat negeri yang menyebut mengenai perkara itu.

“Ada dalam kalangan pemilik tanah kediaman ini yang bersifat leasehold dalam tempoh 99 tahun, 88 tahun, 55 tahun dan sebagainya dengan memindahkan status hartanah mereka kepada status tanah adat.

“Dan peluang yang ditawarkan ini juga tidak mengganggu mana-mana institusi lain kerana ia adalah tanah milik orang Melayu dan juga di kawasan penempatan orang Melayu,” katanya.
Adly berkata demikian dalam wawancara ekslusif MelakaKini bersama Ketua Menteri di Seri Negeri, hari ini.

Mengenai sambutan masyarakat terhadap tawaran tersebut, Adly turut berkata, ramai memberi reaksi positif kerana kebanyakan penduduk sememangnya berhasrat untuk melakukan pertukaran status tanah demi masa depan masing-masing.

“Pada bulan puasa lalu, saya ada pergi ke tempat-tempat tersebut bertemu penduduk dan mereka melahirkan rasa gembira.

“Tanah leasehold ini bukan saja melibatkan penempatan di kawasan yang kita maksudkan, tetapi juga melibatkan kawasan-kawasan kampung.

“Namun, saya percaya masih ramai dalam kalangan rakyat yang tidak mendapat maklumat sebegini dan kita akan melebarkan lagi maklumat ini supaya pemilik tanah leasehold itu akan dapat menukar status masing-masing kepada status MCL,” katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun ada kalangan rakyat yang merasa bimbang jika menukar status tanah tersebut yang kononnya akan menyebabkan nilai hartanah berkurang, tetapi apa yang ditawarkan kerajaan negeri itu berkait dengan masa hadapan dan generasi mereka nanti.

“Bagi saya, status tanah MCL itu adalah untuk kediaman dan masa depan anak-anak mereka kelak.

“Lagipun tiada tempoh terhad untuk melakukan proses pertukaran ini kerana kita mahu bagi peluang kepada rakyat supaya mendapat manfaat bersama kerana masih ada lagi yang belum bertindak sepatutunya.

“Dengan bayaran premium serendah RM1,000 itu secara tidak langsung juga membolehkan tanah-tanah MCL dipertingkatkan dan sudah pasti pemilik tanah dapat menjamin hak milik tanah masing-masing kelak,” ujar beliau.

CATEGORIES