Taruhan magis Encore Melaka

Taruhan magis Encore Melaka

KEISTIMEWAAN resam mengenai Nyonya Melaka ditampilkan dalam persembahan tersebut.

KOTA LAKSAMANA 3 Julai – Sentuhan magis Wang Chaoge Pengarah Encore Melaka di Impression City yang juga Pengarah Seni bagi upacara Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008, ternyata memukau khalayak.

Produksi yang dipertontonkan selama 70 minit karya Wang Chaoge ini diinspirasikan dari sejarah Melaka yang kaya dengan budaya dan adat resam selepas beliau mengkaji  mengenai sejarah, budaya dan ketamadunan masyarakat majmuk Melaka majmuk yang memakan masa selama hampir dua tahun.

Dipentaskan dengan pelbagai lagu dan tarian yang menarik, pementasan ini adalah kompilasi cerita budaya yang mencerminkan masyarakat majmuk dalam meraikan kepelbagaian dan keberagaman serta bersifat inklusif.

Paling jelas, penceritaan semula Wang akan membawa penonton menyelusuri waktu, bermula dari empayar Melaka sehingga pembangunannya yang kini sudah menjangkau sehingga enam abad, sekali gus menzahirkan keharmonian yang wujud di Negeri Melaka.

“Saya sangat terinspirasi dengan sejarah dan budaya masyarakat Melaka yang berwarna-warni yang melambangkan keharmonian bangsa Melayu menyebabkan saya terpesona dengan orang tempatan yang sangat menghormati dan bertimbang rasa terhadap perbezaan budaya.

“Melaka sentiasa kekal sebagai tamadun dan tauladan keharmonian sosial yang tiada sebarang tembok pemisah antara dulu dan kini.

“Encore Melaka adalah perjalanan yang indah buat saya dan saya mahukan penonton merasakan pengalaman sama menerusi persembahan teater ini,” jelas Wang.

PEMENTASAN teater melibatkan 120 pengemudi setanding dengan pementasan luar negara.

Kisah-kisah pelayaran awal di Melaka, pelayaran misi diplomatik Laksamana Cheng Ho, penempatan Orang Asli Melaka serta pertembungan budaya seperti Baba Nyonya menajdi tunjang yang diangkat kembali dalam paparan teater mega ini bagi menyuntik kenangan imbas pelbagai kisah yang semakin dilupakan.

Penonton akan terus-terusan dihiburkan menerusi pelbagai era, yang dipersembahkan dalam bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin, Tamil dan dialek Melaka serta Portugis.

Kewujudan Encore Melaka di Impression City telah membuka lembaran baharu kepada peminat khususnya teater bertaraf dunia yang antara lain menjadi faktor pendorong Melaka sebagai destinasi pelancongan yang cukup mengujakan.

Pementasan teater bertaraf dunia di sini digerakkan oleh penggunaan teknologi yang hebat
setanding pementasan luar negara juga boleh dilihat sebagai rangsangan awal menghidupkan budaya menonton teater yang sangat rendah di negara ini.

Pentas teater terbesar di Asia ini boleh menempatkan lebih 2,000 penonton dalam satu sesi pementasan, di atas platform unik yang boleh berputar dengan kemampuan projeksi video inovatif serba canggih.

Bukan sekadar set pentas haudralik bertingkat atau pencahayaan dan teknik akustik termaju, bahkan persembahan melibatkan kira-kira 120 aktor dan aktres itu juga mampu menurunkan hujan lebat dan limpahan air di petarana tersebut.

CATEGORIES
TAGS