Tarik semula PPR, jalan akhir jika langgar kontrak – Adly

Tarik semula PPR, jalan akhir jika langgar kontrak – Adly

AYER KEROH 13 Mac- Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam tempoh masa terdekat dengan pemilik Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini yang melanggar kontrak perjanjian.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia bagi mencari punca kepada permasalahan yang berlaku dan sebarang tindakan akan dimuktamadkan selepas proses perbincangan dilakukan.

Katanya, jika didapati melanggar syarat kontrak, tindakan penarikkan semula rumah PPR adalah jalan terakhir yang akan diambil bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Jika pemilik rumah tersebut tidak duduk rumah yang telah dibeli malahan menyewakannya, lebih baik kita jual kepada orang lain kerana ramai lagi yang ingin membeli rumah tersebut.

“Pemilik rumah di bawah projek ini dilihat telah melanggar perjanjian, jika selepas pertemuan dan perbincangan tidak mencapai hasil atau bukti yang kukuh, tindakan akan diambil terhadap pemilik.

“Itu jalan terakhir bagi mereka yang membeli dan tidak menduduki rumah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di sini, pagi tadi.

Jelas Adly, isu rumah PPR tidak didiami atau disewa bukanlah isu baharu, malah sudah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, kerajaan negeri mengambil kira implikasi yang bakal dihadapi pemilik PPR sekiranya diarah berpindah, dan perkara itu dalam pertimbangan pihaknya.

“Mereka mungkin mempunyai sebab tersendiri atas tindakan yang mereka buat dan sekiranya benar mereka melanggar perjanjian kita tidak akan terus menghukum dan akan memberi peluang.

“Antara peluang yang kita akan beri ialah dengan memberi pilihan memiliki rumah lain di bawah Lembaga Perumahan Melaka (LPM) yang tidak mempunyai perjanjian ketat seperti PPR.

“Kita perlu melihat dari sudut kemampuan pembeli juga, kerana setiap dari tindakan akan mendatangkan impikasi dan setiap dari permasalahan akan datang solusi dari pelbagai kaedah.

“Di peringkat negeri, kita akan mencari jalan penyelesaian supaya rumah PPR itu memang diberikan kepada mereka yang benar-benar layak sahaja,” katanya.

994 Shares
CATEGORIES
TAGS