SST: Harga tiket pelancongan kekal

SST: Harga tiket pelancongan kekal

ADLY bersalaman dengan Wan Cham selepas menandatangani perjanjian antara PPSPM dan Syarikat Beaks Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh, semalam.

AYER KEROH 5 Sept. – Kerajaan negeri memberi jaminan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan menjejaskan perkhidmatan sektor pelancongan milik negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, harga tiket di Menara Taming Sari dan Melaka River Cruise kekal pada kadar sama, diikuti caj warisan RM2 dikekalkan.

Katanya, kerajaan negeri juga telah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau dan mengetatkan penguatkuasaan bagi menangani pencatutan harga setelah pelaksanaan SST yang bermula awal bulan ini.

“Setakat ini, saya belum menerima alasan pelaksaan cukai SST akan memberikan impak negatid terhadap sektor pelancongan.

“Dan kadang-kala, kenaikan itu bukan disebabkan SST, tetapi disebabkan permintaan dan perkhidmatan.

“Tidak timbul isu kenaikan harga di sektor pelancongan milik kerajaan negeri, ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dan Syarikat Beaks Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim; Exco Pelancongan Kebudayaan dan Warisan negeri, Muhammad Jalaini Khamis; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin dan Pengarah Syarikat Beaks Development Sdn. Bhd., Chan Wan Cham.

Jelas Adly, perjanjian terbabit melibatkan dua projek pembangunan keseluruhan berkeluasan 0.95 hektar, termasuk Grand Pier Melaka yang menelan kos RM60 juta dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2020,sekali gus merancakkan industri pelancongan di negeri ini

Menurutnya, ia akan menjadi projek pembangunan kreatif pertama kerajaan negeri dengan pembinaan sebanyak 46 unit bagi kemudahan hotel, butik, pusat jualan, cenderahati, terminal penumpang moden Melaka River Cruise (MRC), Stesen Unit Penyelamat Bomba di Dalam Air (SKUBA) selain 21 unit runcit yang menempatkan kedai makanan dan minuman.

“Menerusi syarikat yang sama juga akan membina sebanyak 116 petak letak kenderaan dalam bangunan bertingkat dengan kos kira-kira RM5 .5juta, secara tidak langsung akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Bandar Hilir yang mencatatkan peningkatan jumlah pelancong saban tahun,” katanya.

CATEGORIES
TAGS