SPM 2018: Melaka capai GPN 4.96

SPM 2018: Melaka capai GPN 4.96

BUKIT BARU 14 Mac – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dalam negeri ini mencatatkan pencapaian yang lebih cemerlang dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.96, berbanding 5.00 pada 2017.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata, penurunan dari segi bilangan pelajar yang mendapat gred cemerlang keseluruhan pada tahun ini cuma enam orang berbanding sembilan orang pada tahun 2017.

Katanya, seramai 13,821 calon di negeri telah mendaftar untuk mengambil peperiksaan SPM berbanding 14,464 orang calon pada 2017.

“Calon yang layak mendapat Sijil SPM pada tahun ini meningkat dengan pencapaian 87.8 peratus berbanding SPM 2017 dengan 87.0 peratus di mana peningkatan hanya 0.08 peratus.

“Bagi tahun ini, keputusan pelajar yang mendapat 10A+ seramai lima orang dan seorang pelajar mendapat 9A+,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Keputusan Rasmi SPM 2018, di Jabatan Pendidikan Negeri, di sini, pagi tadi.

Katanya, secara keseluruhan keputusan SPM negeri Melaka menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

“Hampir 98.6 peratus sekolah di negeri ini mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik, sekali gus pencapaian sekolah-sekolah yang baik telah membantu pencapaian GPN,” katanya.

Abu Bakar berkata, Peratusan lulus bagi mata pelajaran teras negeri seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Moral, SejarAH, Matematik dan Sains melebihi 79 peratus.

553 Shares
CATEGORIES