Soal bajet punca MUSA ‘berahsia’ ?

Soal bajet punca MUSA ‘berahsia’ ?

PERBELANJAAN Melaka United (MU) yang terhad musim ini menjadi antara punca pemilihan pemain terpaksa dirahsiakan.

Oktober lalu, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari berkata, MUSA menghadkan perbelanjaan sehingga RM18 juta bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 berbanding RM23 juta musim ini.

Menurut sumber rapat MUSA, langkah merahsiakan pemilihan pemain terpaksa dilakukan supaya pemain yang dimahukan menepati bajet, selain mengelakkan pemain yang diburu diganggu ‘pancingan’ pasukan lain.

Katanya, soal pemilihan pemain juga tidak sepatutnya disebarkan, dikhuatiri menganggu percaturan kelab seperti apa yang terjadi semasa mendapatkan khidmat Faiz Nasir.

“Kalau bajet kita besar, mungkin tidak menjadi masalah untuk kita memberitahu siapa pemain yang menjadi sasaran.

“Jadi, dengan bajet yang kecil berbanding tahun lalu sebagai langkah penjimatan, ini antara langkah yang terpaksa dibuat.

“Bukan MUSA saja-saja nak rahsiakan, tetapi terpaksa, kalau dibocorkan risau pemain yang dimahukan ‘dicekau’ pasukan lain,” katanya.

Adly yang juga Ketua Menteri menafikan dakwaan merahsiakan pemilihan pemain menjadi antara sebab MUSA berdiam diri soal pemilihan.

Beliau yang mengambil alih kerusi kepimpinan MUSA Mei lalu menggantikan Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, kerahsiaan pemilihan pemain adalah cara MUSA merangka strategi mendapatkan pemain yang diingini dan ia tidak ada kena mengena tentang soal bajet.

“Kita tak boleh dedahkan semua kerana pemain yang dicari sentiasa menjadi rebutan.

“Masing-masing ada perbincangan dan sebagainya, mengenal soal pemain kita akan maklumkannya dalam tempoh terdekat,” katanya.

148 Shares
CATEGORIES
TAGS