SMJK Tinggi Cina  & SK Hutan Percha muncul juara

SMJK Tinggi Cina & SK Hutan Percha muncul juara

BUKIT SERINDIT 9 Nov. – Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Percha muncul juara keseluruhan bagi Kategori Sekolah Rendah Pertandingan Robot Olympics Malaysia 2018.

Pertandingan peringkat kebangsaan itu disertai 17 buah sekolah kebangsaan dan 35 sekolah menengah kebangsaan seluruh negeri melibatkan Melaka, Sarawak, Perak, Johor dan Pahang.

Guru pembimbing SK Hutan Percha, Mohammad Yurman Mohmad Noor, 36, berkata, beliau tidak menyangka muncul juara tersebut apabila diumum pemenang pertandingan berkenaan.

Walaupun sekolahnya berada di kawasan luar bandar, muridnya mampu memberi komitmen semasa dalam latihan.

Menurutnya, beliau bangga terhadap pasukannya kerana murid yang menyertai pertandingan itu kebanyakannya Tahun 6 dan mampu membahagikan masa dengan pelajaran selain memfokuskan pada pertandingan itu.

Jelasnya, mereka akan berlatih pada waktu petang dan memfokuskan pelajaran pada waktu pagi sepenuhnya semasa sesi pembelajaran.

Yurman menjelaskan, pelbagai pertandingan disertai pasukannya pada tahun ini dan kali ini merupakan pencapaian terbesar buat pasukan terbabit.

“Kejayaan besar ini akan saya kongsikan kepada pihak sekolah dan harap akan ada ramai pihak sudi membantu sekolah kami membentuk semangat pelajar menceburi bidang robotik,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri, Adly Zahari; Timbalan Naib canselor Akademik & Antarabangsa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Dr. Mohd Razali Muhamad dan pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Abu Bakar Sahari.

Sementara itu, seorang murid, Nura’in Suraya Abd. Mutalib,12, berkata, dia teruja di atas kemenangan yang dicapai.

Katanya, dia telah banyak berkorban membahagikan masa lebih-lebih lagi mengulang kaji pelajaran pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dihadapinya.

“Mungkin ini berkat doa ibu bapa saya yang memberi sokongan dan galakan terhadap diri saya sehingga menjadi juara pada peringkat kebangsaan ini,” katanya.

Pertandingan Robot Olympics Malaysia 2018 turut menganugerahkan juara keseluruhan sekolah menengah yang dijuarai Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tinggi Cina.

Pertandingan anjuran Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalui kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia itu dirasmikan Ketua Menteri, Adly Zahari.

167 Shares
CATEGORIES

COMMENTS