Sepanjang 2018 : JPN Melaka terima 14,699 daftar kelahiran

Sepanjang 2018 : JPN Melaka terima 14,699 daftar kelahiran

AYER KEROH 9 Jan. – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka mencatatkan seramai 14,699 pendaftaran kelahiran sepanjang 2018.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginie Lim Siew Lin berkata, daripada jumlah itu, Pejabat JPN Cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) mencatat jumlah terbanyak 4,631 kelahiran.

“JPN negeri mencatat jumlah pendaftaran kelahiran sebanyak 5,707, manakala JPN Daerah Alor Gajah seramai 1,227 kelahiran, JPN Daerah Jasin (1,065) dan JPN Cawangan Bandar Alor Gajah (870) kelahiran.

“Diikuti JPN Daerah Melaka Tengah (840), JPN Cawangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai (297), JPN Cawangan RTC Melaka (61) dan Balai Polis Merlimau (1),” katanya.

Ginie berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan di Ibu Pejabat JPN Negeri di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JPN Negeri, Norazlee Sulaiman.

Mengulas program itu, Ginie berkata, program tersebut akan diadakan setiap Rabu minggu kedua setiap bulan sepanjang 2019.

“Antara lain program tersebut bertujuan memudahkan orang ramai berurusan dengan JPN mengenai permohonan pertukaran kad pengenalan lama kepada yang baharu, daftar perkahwinan, daftar kelahiran, kematian dan sebagainya.

“Pada masa sama, ia juga bagi menggalakkan orang ramai memperbaharui kad pengenalan anak-anak mereka yang telah berumur 12 tahun dan 18 tahun agar memudahkan mereka menjalani kehidupan selepas menamatkan alam persekolahan.

“Menerusi program ini, orang ramai terutama yang ada membuat permohonan anak angkat dapat memahami peraturan serta panduan disediakan JPN,” ujarnya.

Ginie berkata, pihak JPN juga akan turun padang membuka kaunter bergerak di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya diundang semasa berlangsungnya sebarang program dari semasa ke semasa.

120 Shares
CATEGORIES