Selagi ada kudratku…

Selagi ada kudratku…

TELOK MAS 8 Feb – Demi cinta setia, seorang warga emas di Kampung Alai, di sini tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk menjaga isterinya yang menghidapi masalah saraf.

Isnin Said, 66, berkata, disebabkan masalah yang dialami sejak lebih setahun lalu, isterinya Fatimah Majid, 68, mengalami kesukaran untuk berjalan dan menstabilkan diri.

Lebih menyukarkan, apabila Fatimah perlu merangkak jika mahu ke bilik air andai kata suaminya yang bekerja sebagai nelayan keluar ke laut.

“Memang saya tinggal berdua sahaja di rumah. Selepas isteri sakit, pak cik yang terpaksa mengambil alih tugasnya menguruskan rumah dan membantunya memasak.

“Walaupun isteri boleh berjalan, tapi tak sekuat dulu dan tak stabil, memerlukan saya untuk memapahnya ke tandas atau ke mana sahaja, jika saya tiada dia terpaksa merangkak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, bagaimanapun dia bersyukur anak perempuannya yang sudah berumahtangga kerap menjenguk dan menjaga isterinya selepas menghantar cucu- cucunya ke sekolah.

Menceritakan lebih lanjut, Isnin berkata, kehidupannya bersama isteri cukup sederhana dan makan apa adanya kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Pak cik tidak mahu susahkan anak perempuan selagi pak cik masih mempunyai kudrat.

“Memang sebagai nelayan pendapatan tak menentu, kadang- kala jika cuaca tak elok dapatlah dalam RM20, memang tak cukup. Apa yang diharapkan isteri cepat sihat dan saya tetap akan menjaganya sehingga sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, masalah Fatimah mendapat perhatian 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Effandi Ahmad dan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) kawasan.

Fatimah menerima sebuah kerusi roda untuk memudahkan pergerakannya dan sumbangan wang tunai daripada Effandi.

CATEGORIES