Satukan umat Melayu : Islam bina ukhuwah – Sultan Nazrin

Satukan umat Melayu : Islam bina ukhuwah – Sultan Nazrin

BANDARAYA MELAKA 7 Dis. – Agama Islam telah menyatukan umat Melayu membina ukhuwah hingga umat Melayu bersatu teguh dan muncul sebagai umat yang kuat.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah bertitah, tapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah.

Titahnya, ini kerana umat Melayu telah kehilangan semangat ukhuwah, umat Melayu telah lemah jati diri, umat Melayu semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan, umat Melayu semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

Baginda berkata, budaya berpolitik yang sedang berlaku di bumi warisan bangsa ini telah menjelmakan ketaksuban baharu.

Menghidupkan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran yang lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan, dari kepentingan menerima kebenaran.

“Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya terpercik ke muka sendiri.

“Justeru itu, Islam memberi dimensi baharu kepada minda Melayu, mencetuskan revolusi pemikiran, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur.

“Islam telah merobah bukan saja struktur zahir masyarakat Melayu, malah turut menyentuh struktur batinnya hingga sampai ke jiwanya.

“Islam telah memperkenalkan peradaban baharu dalam kalangan umat Melayu,” titah baginda.

Sultan Nazrin Shah bertitah demikian di Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli MAIM dan Majlis Pentauliahan Pelantikan Hakim di Melaka Grand Ballroom, Hotel Equatorial di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Pada majlis itu, seramai 21 penerima Watikah Pelantikan Hakim Syarie dan Pendaftar terdiri lima Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Selain seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, tujuh Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan empat
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah serta tiga Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah turut menerima watikah pelantikan.

Manakala seramai 18 orang turut mendapat limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V, sebagai Pendaftar Mahkamah Syariah yang menjadikan jumlah keseluruhan 39 orang.

Selain itu, seramai 15 orang akan menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis MAIM bagi Sesi 2018/2020.

Lantikan itu terdiri anggota yang memegang jawatan tersebut, mereka yang arif dalam hukum syarak dan seorang setiausaha bagi majlis yang mendapat limpah perkenan Sultan Muhammad V, atas nasihat pihak berkuasa negeri.

CATEGORIES
TAGS