Sasar 20 juta kedatangan pelancong tahun 2019

Sasar 20 juta kedatangan pelancong tahun 2019

BANDARAYA MELAKA 6 Dis. – Negeri Melaka menyasarkan 20 juta kedatangan pelancong pada tahun 2019, kata Adly Zahari.

Berikutan itu, kata Adly yang juga Ketua Menteri, usaha bersungguh- sungguh dilakukan dengan menggiatkan Kempen Pelancongan Khas sepanjang 2019.

Menurutnya, di samping berusaha agar pelancong memanjangkan tempuh bermalam kepada tiga malam menjelang tempuh berkenaan.

Tegasnya, Tahun Melawat Melaka 2019 (TMM 2019) bermula 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019 dengan tema pelancongan baharu ‘MELAKA THE GATEWAY TO HISTORIC MALAYSIA’.

Menurut beliau, itulah misi khas kerajaan Negeri Melaka. Ketua Menteri mengumumkan perkara itu secara langsung dalam rancangan ‘Jom Dengau Apa Kata Ketua Menteri’ di stesen radio Melaka FM pagi ini.

Ketua Menteri menjadi tetamu khas rancangan itu setiap awal bulan hari Khamis dan hari Khamis berikutnya tetamu di studio ialah Exco Kerajaan Negeri dalam rancangan lain bertajuk ‘Kenali YB Anda’.

Rancangan bermula jam 8.30 pagi itu diterbitkan oleh Zainun Sulaiman dan dikendalikan oleh pengacara Hazmeer Hassan atau DJ Chot dan Norfazirah Raman atau DJ Fazz.

Pelancaran Kempen Tahun Melawat Melaka 2019 akan diadakan pada 23 hingga 31 Disember 2018 di Jalan Merdeka Bandar Hilir, sempena Fiesta Melaka 2018.

Kerajaan negeri merancang pelbagai pengisian program sempena TMM 2019 dengan menyenaraikan 150 acara pelancongan berserta 11 acara pelancongan utama, termasuk acara Raptor Watch, sambutan Melaka Bandaraya Bersejarah dan ‘Melaka by The Sea Carnival’.

Ujarnya, usaha itu pastinya bagi menjadikan Melaka destinasi utama pelancong asing dan domestik.

Adly berkata, kedatangan 20 juta pelancong dengan mereka meningkatkan tempoh bermalam kepada tiga malam, sekali gus akan menjana pendapatan kerajaan negeri kepada RM24 bilion pada tahun 2019.

Beliau optimis menjelang akhir tahun ini, Melaka mampu mencapai sasaran 17 juta pelancong ke Melaka.

Ianya dengan tempuh bermalam selama tiga malam dengan hasil pendapatan dari sektor itu berjumlah RM18 bilion.

Dalam rancangan setengah jam itu, beliau juga menggesa agar seluruh warga Melaka turut sama main peranan membantu kerajaan negeri bagi mencapai hasrat itu.

Ini termasuk pengusaha pelancongan dan pengayuh beca yang merupakan ‘duta kecil’ kerajaan negeri.

Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia yang diiktiraf UNESCO membantu Melaka memacu pertumbuhan sektor pelancongan dengan lebih giat lagi.

Moto pelancongan ‘MELAWAT MELAKA BERSEJARAH BERERTI MELAWAT MELAKA & MELAKA BANDARAYA WARISAN DUNIA’ oleh UNESCO amat sinonim dan perlu dikekalkan bersama dengan identiti Melaka Berwibawa-Pintar, Hijau, Bersih.

Turut sama menyambut Ketua Menteri, Pengarah Penyiaran Melaka, Ibrahim Ismail; Ketua Bahagian Rancangan, Anissah Md. Yunos dan kru penerbitan.

106 Shares
CATEGORIES