Rumah Belia : Melaka negeri pertama laksana – Adly

Rumah Belia : Melaka negeri pertama laksana – Adly

AYER KEROH 8 Feb. – Kerajaan Negeri bakal membina Rumah Belia khusus buat golongan belia di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pembinaan rumah itu dijangka bermula tahun ini melalui dua fasa melibatkan 524 unit rumah.

Menurutnya, ia sekali gus membantu golongan belia di bawah umur 40 tahun memiliki rumah dan tidak perlu bersaing dengan pemilik rumah yang lain.

“Kita dah muktamadkan dengan pihak pemaju model Rumah Belia termasuk harga, keluasan dan sekarang hanya tinggal proses perjanjian.

“Pelaksanaannya akan dimulakan tahun ini, harganya kita dah tetapkan RM162,000 selepas memberikan diskaun daripada harga asal RM180,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MelakaKini (MK) pada Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Adly berkata, bagi fasa pertama sebanyak 124 unit akan mula dibina tahun ini.

“Keluasan rumah sama dengan Rumah Mampu Milik (RMM), cuma ada sedikit perubahan. Secara asalnya masih dalam konteks RMM.

“Diskaun diberikan itu berdasarkan subsidi pembangunan, justeru itu kita khususnya perumahan itu sebagai pembangunan belia,” katanya.

Jelas Adly, Rumah Belia itu dibina di kawasan Durian Tunggal melalui jalan Kampus Induk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Kita beri keutamaan kepada anak Melaka dulu, tapi ianya khusus kepada golongan belia.

“Melaka adalah negeri pertama wujudkan inisiatif dan ia menjadi keutamaan kita untuk memberi kemudahan kepada golongan sasar,” katanya.

2.25K Shares
CATEGORIES
TAGS