RM5 bilion sasaran kerajaan negeri sepanjang 2019

RM5 bilion sasaran kerajaan negeri sepanjang 2019

BUKIT RAMBAI 4 Feb. – Kerajaan negeri menyasarkan nilai pelaburan sepanjang 2019 ini sebanyak RM5 bilion.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan negeri akan mengadakan lawatan kerja dalam misi pelaburan ke Eropah pertengahan 2019.

Jelasnya, misi pelaburan yang bakal dilaksanakan menyasarkan pelaburan yang punyai nilai tambah dari segi teknologinya.

“Kita mahukan pelaburan yang bakal diperolehi nanti bukan hanya pelaburan dalam industri biasa, namun perlu diberi penekanan berkaitan teknologi tinggi.

“Setidak-tidaknya perpindahan teknologi dapat dibawa ke Melaka selain menggalakkan penglibatan anak-anak syarikat kerajaan negeri di dalam pelaburan yang punyai impak tinggi dan tidak hanya jadi pemerhati saja kepada pembangunan yang dibawa ke Melaka.

“Sebelum ini, pelaburan dilaksanakan hanya tertumpu kepada penjualan tanah saja, namun jika ingin membuat pembaharuan, anak syarikat kerajaan negeri perlu diberi keutamaan dari segi
penyertaan dalam pelaburan-pelaburan berimpak tinggi dari negara luar.

“Saya yakin, usaha sama ini akan memberi keuntungan kepada anak-anak syarikat terlibat seterusnya kepada kerajaan negeri.

“Sekali gus dapat menambah pendapatan kerajaan negeri menerusi pelaburan dilaksanakan selain memberi limpahan peluang pekerjaan kepada rakyat Melaka,” katanya¬†kepada media selepas melancarkan Projek Taman Bukit Rambai Purta di sini, Sabtu lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tangga Batu, Rusnah Aluai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Gue Teck; Pengerusi DPS Resources Bhd., Datuk Seri Sow Chin Chuan dan Pengarah Urusan
DPS Resources Bhd., Edward Sow Yuen Seng.

Beliau berkata, antara sasaran yang diberikan keutamaan kerajaan negeri kepada syarikat yang membuat pelaburan nanti, mereka perlu memberi keutamaan pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Kita nak lihat anak-anak tempatan dapat pekerjaan yang baik, berkualiti tinggi dan selaras kelulusan yang mereka miliki.

“Ini kerana kita ada ramai graduan yang masih menganggur, kita ada lebih 40 universiti melibatkan Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta (IPTA/S).

“Namun, ribuan graduan yang menganggur ini perlu ditangani meliputi pelbagai sektor dalam pelaburan yang datang ke Negeri Melaka nanti.

“Pentingnya para pelabur ini membuka peluang pekerjaan kepada graduan-graduan anak Melaka yang berkeupayaan selain punyai kebolehan tinggi untuk menyumbang kepada projek-projek yang
mereka laburkan di Melaka,” katanya.

CATEGORIES