RM40,000 untuk pengayuh beca

RM40,000 untuk pengayuh beca

AYER KEROH 6 Dis. – Kerajaan Melaka telah meluluskan peruntukan RM40,000 sebagai sumbangan kepada pengusaha beca.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan dalam satu majlis meraikan pengusaha beca yang akan diadakan pada masa akan datang.

Menurutnya, sumbangan itu juga sebagai menghargai jasa dan sumbangan pengusaha beca di Melaka khususnya sebagai duta pelancongan negeri.

“Peruntukan RM40,000 ini untuk kebajikan mereka dan juga ‘mesage’ apakah harapan kerajaan negeri kepada mereka.

“Sumbangan ini untuk pengayuh beca, tetapi buat masa ini kerajaan negeri belum punyai data berapa ramai pengusaha beca berdaftar dan tidak berdaftar,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian kepada media dalam sidang media di Seri Negeri di sini, hari ini.

Jelas Adly, peruntukan RM40,000 yang diluluskan ini adalah untuk tahun 2018 dan setiap tahun kerajaan negeri akan berikan peruntukan kepada pengayuh beca.

Ujarnya, kerajaan negeri akan sentiasa membuat penambahbaikan dan memang mengaharapkan semua pengusaha beca berdaftar dengan kerajaan negeri.

Katanya, ia akan memberi peluang kerajaan negeri memberi mereka latihan-latihan berkaitan kerana mereka ini yang akan berkomunikasi dengan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

“Perkara ini penting kerana pengusaha beca adalah jurucakap hadapan, peringkat MMKN akan sentiasa meningkatkan lagi mutu dan kualiti beca,” ujarnya.

1.38K Shares
CATEGORIES