Ringan beban rakyat : Perbanyakkan pasar tani – Shoo Chin

Ringan beban rakyat : Perbanyakkan pasar tani – Shoo Chin

LORONG PANDAN 4 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Seah Shoo Chin menyarankan agar lebih banyak pasar tani dianjurkan.

Ianya bagi memberikan kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan hasil pertanian yang segar dan murah.

Katanya, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menguruskan pasar-pasar tani ini perlu meneliti kawasan-kawasan baharu yang punyai penempatan yang ramai.

Ujarnya, ianya agar pasar-pasar tani yang dibuka nanti dapat membantu penduduk berhampiran membeli-belah.

“Dengan cara ini, kehidupan rakyat dapat ditingkatkan dan pengunjung boleh membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan selain dapat beramah mesra bersama masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Shoo Chin berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pasar Tani Khas sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2019 di tapak Pasar Tani Lorong Pandan di sini, Ahad lalu.

Hadir sama, Pengarah FAMA Negeri, Che Samudin Hassan dan Penyelaras Usahawan (Pasar Tani & Karavan Tani) FAMA Negeri Melaka, Azraii Kalam.

Sementara itu, Che Samudin berkata, Pasar Tani Khas sempena TBC 2019 itu ermatlamat sebagai satu pendekatan menerusi aktiviti di bawah program pemerkasaan institusi pasar tani.

“Ia bagi memberi kemudahan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan serta khidmat yang diperlukan dengan harga yang berpatutan.

“Antara lain, program pasar tani khas ini juga turut menyediakan kemudahan kepada masyarakat setempat bagi mendapatkan barangan keperluan mereka khasnya di musim perayaan dengan tawaran harga berpatutan.

“Ia juga bagi membangunkan pasaran dan meningkatkan jualan produk keluaran usahawan tani, usahawan penternak dan nelayan terus kepada pengguna,” katanya.

Ujar Che Samudin, program ini dapat memberi ruang kepada usahawan bimbingan jabatan/agensi /kementerian dalam memperkembangkan ruang perniagaan serta memperkenalkan produk keluarannya kepada kumpulan sasar.

“Program ini juga dapat meningkatkan kehadiran serta keyakinan pengguna untuk berbelanja atau mendapatkan barangan keperluan seharian serta menghargai sokongan khasnya pengguna dari pelbagai bangsa di pasar tani ini.

“Selain itu, program juga bermatlamat sebagai platform bagi perlaksanaan program memerkasakan institusi pasar tani,” jelasnya.

Katanya, penganjuran program Pasar Tani Khas TBC ini adalah satu pendekatan yang dirancang oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Pasar Tani.

Ia juga merupakan sebahagian dari aktiviti yang dilaksanakan di bawah program Pemerkasaan Institusi Pasar Tani.

“Selain merupakan aktiviti tetap yang dilaksanakan sempena menyambut musim perayaan utama mengikut fahaman agama dan kaum di negara kita.

“Selian penyertaan usahawan sedia ada, perlaksanaannya turut melibatkan penyertaan projek FAMA yang lain, melalui projek Ladang Kontrak dengan konsep Jualan Terus Dari Ladang oleh Bahagian Operasi FAMA melibatkan komoditi segar, produk kawalan & produk proses,” ujarnya.

126 Shares
CATEGORIES