‘Reposition’ untuk tingkat kualiti perkhidmatan

‘Reposition’ untuk tingkat kualiti perkhidmatan

AYER KEROH 21 Mei – Proses ‘reposition’ beberapa penjawat awam dalam penstrukturan semula kerajaan negeri bertujuan meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan,” kata Adly Zahari.

Adly yang juga Ketua Menteri berkata, beliau lihat dari segi kompetensi dan kemampuan mereka dan kerajaan negeri akan menilai dengan jujur apa yang telah mereka lakukan.

“Jika mereka cemerlang mereka pasti akan dapat ‘reward’ dan jika yang lemah akan kita beri latihan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam itu sendiri.

Menurutnya, perubahan-perubahan itu adalah untuk kebaikan negeri dan beliau telah sampaikan dasar yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan yakin ia akan disambut baik oleh penjawat awam.

“Proses utama kita adalah menilai, bulan Mei ini kita masih membuat penilaian tentang struktur dan bagaimana keberkesanannya dan juga penjawat itu sendiri.

“Golongan ini adalah tulang belakang yang penting bagi kerajaan dan saya yakin komitmen ditunjukkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Roslan Ibrahim dan dan penjawat awam kita dapat laksana dasar-dasar kita dengan baik.

“Kita sedang dalam menyusun semula struktur kerajaan negeri dan memang akan ada perubahan masa pada struktur yang kita bina ini.

“Tetapi, semua pandangan dari SUK dan agensi diambil kira apabila kita buat penilaian keseluruhan.
“Asas PH adalah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, tapi kita tidak mahu sebagai sebuah kerajaan dan dalam masa kita membuat perubahan, asas ini kita abaikan,” ujarnya.

Adly berkata demikian kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri anjuran Jabatan Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Turut hadir, Speakar Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim.

Ujarnya, pertukaran dan perpindahan pasti berlaku, ia perkara biasa dalam mana-mana organisasi untuk melancarkan pengurusan pentadbiran ke arah lebih baik.

“Saya juga akan menilai semula semua agensi kerajaan negeri serta membantu agensi bermasalah untuk dipulihkan sehingga mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri,” katanya.

CATEGORIES