Promosi FASM 2018 lebih agresif, mampu tarik lebih sejuta pengunjung

Promosi FASM 2018 lebih agresif, mampu tarik lebih sejuta pengunjung

BANDARAYA MELAKA 5 Nov. – Perbadanan Pembangunan Sungai & Pantai Melaka (PPSPM) yakin Festival Antarabangsa Sungai Melaka (FASM) 2018 mampu menarik lebih satu juta pengunjung dengan promosi yang lebih agresif.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Adham Ahmad berkata, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai, PPSPM melaksanakan pelbagai aktiviti, antaranya memaksimumkan promosi menerusi penggunaan medium media sosial.

Selain menambah baik program-program ‘pocket show’ seperti perbanyakkan acara terutamanya yang berteraskan air.

Adham memberitahu, PPSPM juga mempelbagaikan tarikan-tarikan di tapak pesta sepanjang 10 hari festival itu diadakan.

“Pelbagai gerai akan dibuka menjual barang-barang beridentitikan Melaka dan aktiviti-aktivti kebudayaan di samping persembahan artis-artis popular Malaysia.

“Sasaran satu juta pengunjung dilihat tidak mustahil kerana tarikh festival itu sendiri dipilih semasa cuti persekolahan agar mampu mencapai sasaran pengunjung yang ditetapkan,” ujarnya.

Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2018 yang masuk kali ke-12 itu membabitkan 24 acara termasuk tujuh darinya acara antarabangsa yang bertujuan mempromosikan Melaka di persada dunia.

Banyak acara menarik dijangka mencuri tumpuan termasuk acara bot berhias, persembahan kebudayaan yang menghimpunkan pelbagai etnik di negeri ini.

Turut diadakan ialah pertandingan bot kawalan jauh, perahu naga, Marathon Antarabangsa Sungai Melaka dan Mr. Body Beautifu serta pementasan sejarah epik Melaka dan Parameswara akan diadakan pada acara pembukaan festival itu pada 24 November ini.

CATEGORIES

COMMENTS