Projek tambak Pulau Upeh dibatal

Projek tambak Pulau Upeh dibatal

AYER KEROH 25 Jun – “Kerajaan negeri memuktamad membatalkan semua projek tambakan di sekeliling Pulau Upeh bagi memberi laluan Projek Angkat Pejabat Ketua Menteri Melaka itu dapat dilestarikan sebagai ikon pelancongan baharu di negeri ini,” kata Ketua Menteri, Adly Zahari mengenai status kawasan tambak di pulau semula jadi tersebut.

Beliau berkata, pulau berkeluasan 2.6 hektar (6.53 ekar) itu akan dibangunkan, namun perlu mengekalkan ia sebagai pulau semula jadi dengan tidak meneruskan projek tambakan dilakukan kerajaaan terdahulu.

“Kalau kita lihat, Pulau Upeh merupakan paling hampir dengan kawasan darat apatah lagi kesan projek tambakan yang menyebabkan kita semakin dekat dengan pulau tersebut.

“Sebenarnya Pulau Upeh merupakan pulau tunggal di Malaysia yang menjadi lokasi pendaratan spesies penyu karah.
“Jadi, tindakan membatalkan semua kawasan tambakan di sekeliling Pulau Upeh itu adalah wajar,” jelasnya.

Menurut Adly lagi, aspek kelestarian alam semula jadi menjadi agenda utama kerajaan negeri dalam usaha memelihara dan mengekalkan kebersihan selain mengekalkan ekosistem pada masa hadapan.

Katanya, sesuai dengan ‘tagline’ Negeri Melaka, ‘Pintar, Hijau, Bersih’, kepesatan pembangunan di negeri ini bukan sahaja menumpukan usaha pembangunan infrastruktur dan fizikal, tetapi juga memastikan persekitaran dan keselesaan terjamin.
“Mungkin selama ini kita tidak memberi perhatian terhadap pembangunan di Pulau Upeh dan mengabaikan produk semula jadi yang ada di situ.

“Sedangkan pulau tersebut adalah tumpuan pendaratan penyu karah, menjadi sebahagian tanggungjawab Jabatan Ketua Menteri dengan memperkenalkan beberapa inisiatif demi menjaga ekosistem dan rantaian bagi proses pendaratan penyu tersebut.

“Dalam isu ini, kerajaan akan kawal kawasan tambakan dan tidak membenarkan apa saja bentuk pencerobohan semula jadi, namun dalam masa sama Pulau Upeh akan dinaik taraf supaya ia menjadi pusat penetasan penyu terkenal,” ujarnya.
Menurutnya, usaha menonjolkan imej Negeri Melaka sebagai Bandaraya Lestari memerlukan kerajaan merancang semula pelan pembangunan di Pulau Upeh.

“Segala bentuk pembangunan di pulau tersebut perlu diteruskan, majukan supaya dapat menjadi tarikan pelancong pada masa akan datang.

“Penyu adalah sebahagian dari sumber yang kita ada, saya percaya ia boleh menarik pelancong dari seluruh dunia ke Melaka,” katanya.

CATEGORIES
TAGS