Projek Insinerator Sungai Udang tidak terjejas

BANDA HILIR 4 Jun – Projek pembinaan insinerator di tapak pelupusan sampah Sungai Udang bernilai RM1 bilion tidak akan terjejas walaupun tampuk pimpinan kerajaan bertukar.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, projek itu tidak akan dihentikan kerana ia merupakan antara tawaran Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah sampah yang kritikal di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan melihat semula perkara yang telah dibincangkan bersama kerajaan Pusat melaksanakannya secepat mungkin.

“Ini bukan isu kecil, Melaka telah menghadapinya sejak dulu lagi dan kita memang harapkan proses pelupusan sisa pepejal ini menggunakan teknologi canggih dan kita sedang usahakan ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Pelaksanaan Projek Smart Meter Melaka di Hotel Equatorial di sini, Khamis lalu.

Hadir sama, Pengarah (Projek Bil Pintar) Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB, Datuk Ir. Mohandass S. Nair.
Mengulas lanjut, Adly yakin pembinaan insinerator itu adalah jawapan kepada persoalan kepada isu sampah di negeri ini.

“Saya yakin ia akan menyelesaikan isu ini, kerana itu yang kita tawarkan dan pemprosesan sampah sedia ada tidak dapat menangani masalah ini,” katanya.

Tahun lepas, kapasiti tapak pelupusan sampah di Sungai Udang dilaporkan mampu bertahan beberapa bulan sahaja lagi walaupun baru beroperasi kira-kira dua tahun.

CATEGORIES