Program LA 21 sampai maklumat sikap kesedaran pemuliharaan alam sekitar

Program LA 21 sampai maklumat sikap kesedaran pemuliharaan alam sekitar

ALOR GAJAH 9 Nov. – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah mengadakan program Local Agenda 21 (LA 21) iaitu Cintai Sungai Kita, baru-baru ini.

Program LA 21 memberi maklumat mengenai cara betul memulihara alam sekitar terutama kepentingan sungai yang banyak dicemari sampah dan cecair toksik.

Yang Dipertua MPAG, Zamzuri Arifin berkata, program itu melibatkan pelajar dan penduduk setempat di kawasan itu.

Katanya, program itu salah satu cara menyampaikan maklumat mengenai pentingnya sikap kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar terutamanya kebersihan sungai.

Menurutnya, salah satu alternatif menyelesaikan masalah pencemaran air ialah menggunakan ‘mudball’ yang dilontar ke dalam sungai.

Jelasnya, ‘mudball’ itu akan pecahkan molekul-molekul organik serta sisa-sisa sampah, lumpur, logam berat dan sebagainya di mana alat itu berfungsi membaik pulih kualiti air sedia ada.

“Dalam keadaan tertentu, tindak balas mudball sangat cepat, malah ia mampu bertahan selama sebulan.

“Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan kesedaran dan mengurangkan pencemaran pada masa akan datang.

“Saya harap masyarakat dapat bersama menjaga kebersihan dan keindahan sungai ini di samping hadirkan sikap self belonging (sikap kepunyaan) ke atas harta-harta awam yang telah disediakan supaya ia dapat diguna oleh semua orang,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS