Produk Rotan Bakul Berkat rangkul Anugerah ‘Malaysia Good Design Award’

Produk Rotan Bakul Berkat rangkul Anugerah ‘Malaysia Good Design Award’

AYER KEROH 28 Dis. – Ishak Kassim merangkul Anugerah ‘Malaysia Good Design Award’ 2017/2018 Kategori Produk Kraf dari Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM) di Hotel Seri Pasific, baru-baru ini.

Beliau selaku usahawan kraf anyaman rotan menerima anugerah setelah produk ‘Rotan Bakul Berkat’ direkanya menepati standard yang ditetapkan.

ISHAK merangkul Anugerah ‘Malaysia Good Design Award’ 2017/2018 Kategori Produk Kraf dari MRM di Hotel Seri Pasific, baru-baru ini.

Produknya selaras dengan penilaian reka bentuk yang berinovatif serta setanding dengan rekaan antarabangsa.

Tahun 2003, produk Bakul Berkat Ishak memenangi anugerah The UNESCO Crafts Prize 2003 For Asia-Pacific anjuran UNESCO di Kuala Lumpur.

Produknya turut dipamerkan di Gedung Membeli-Belah Harold, London sempena Promosi Kraf Malaysia pada tahun 2009.

Ishak memulakan kerjaya sebagai pengusaha kraf seawal tahun 1986 dan aktif dalam pelbagai program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Beliau telah menerima anugerah Adiguru Kraf pada tahun 2011 dan dinobatkan sebagai Tukang Ulung bagi Kategori Anyaman Rotan pada tahun 2012 dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Malaysia Good Design Award merupakan pengiktirafan reka bentuk oleh kerajaan melalui MRM agensi di bawah SIRIM yang diperkenalkan sejak 1997.

Pengiktirafan itu bagi memperakui usaha sektor perindustrian melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan berterusan dalam mempertingkatkan produk baharu.

Kesemua pemenang telah menerima trofi dan sijil dari Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Isham Ishak.

CATEGORIES