Prestasi lebih penting, bukan bajet – Adly

Prestasi lebih penting, bukan bajet – Adly

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari tidak menafikan Melaka United (MU) akan beraksi dengan bajet kurang dari RM18 juta.

Semalam, sumber dalaman MUSA memberitahu MelakaKini, MU terpaksa bersaing dengan bajet sekitar RM11 juta atau RM12 juta bagi saingan Liga Malaysia 2019.

Ini kerana kira-kira RM7 juta dari keseluruhan bajet akan diperuntukkan terhadap beberapa aspek melibatkan projek pembangunan bola sepak akar umbi, kos pengurusan dan lain-lain.

Menurut Adly, MUSA telah menetapkan jumlah maksimum setiap perbelajaan termasuk jumlah dana yang akan diberikan kepada pasukan utama, ia tidak melebihi bajet yang ditetapkan.

Katanya, bagaimanapun soal bajet seharusnya tidak dijadikan topik utama kerana prestasi pemain lebih penting kerana ia mencerminkan jenama MU.

“Yang penting prestasi, kalau boleh kita mahukan prestasi terbaik dengan bajet terendah.

“Walaupun menyedari ia sukar dilakukan, tetapi saya yakin kita boleh buat,” katanya.

Berhubung perkara itu, Adly turut memberitahu, pemain Piala Presiden dan Piala Belia mungkin diberikan peluang menyarung jersi MU menjelang saingan musim depan.

“Itu antara yang sedang diusahakan termasuk menilai pemain kelahiran Melaka di seluruh negara untuk diserap masuk ke dalam pasukan dan bekas pemain Johor Darul Ta’zim,” katanya.

Pada 25 Oktober lalu, Adly mengumumkan MUSA tidak akan berbelanja melebihi RM18 juta musim depan sebagai langkah penjimatan berbanding RM23 juta musim lalu.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama beliau berkata, perhatian akan diberikan bagi menentukan bajet sebenar terhadap beberapa perkara.

170 Shares
CATEGORIES
TAGS

COMMENTS