Petak letak kereta percuma Sabtu & Ahad

Petak letak kereta percuma Sabtu & Ahad

BANDA HILIR 12 Jun – Sebanyak 14,115 petak letak kereta di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak akan dikenakan bayaran pada Sabtu dan Ahad.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, arahan itu akan dilakasanakan bermula 15 Jun 2018 melibatkan 5,159 petak letak kereta yang berada dalam kawasan pusat bandar.

Adly berkata, manakala baki 8,956 petak letak kereta berada di dalam kawasan selain pusat bandar.

Jelasnya, waktu operasi perkhidmatan kutipan letak kereta juga diselaraskan iaitu bermula 9 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Jumaat saja.

Menurutnya, pengecualian bayaran letak kereta ini tidak terpakai kepada pengusaha/operator letak kereta swasta serta syarikat-syarikat kecil yang diswastakan oleh MBMB.

“Ia melibatkan 12 syarikat meliputi 1,436 petak letak kereta, antaranya di Pasar Transit Melaka Sentral, Kompleks Tabung Haji dan Muzium Bukit Sejarah dan Jalan Kota.

“Saya juga mengingatkan pengguna agar mengikut peraturan sedia ada dan meletakkan kenderaan mengikut petak-petak yang disediakan MBMB.

“Jika melanggar peraturan, pengguna boleh didenda maksimum RM300 mengikut perintah (4), peruntukan tempat letak kereta 2001,” katanya.

Adly berkata demikian kepada media selepas merasmikan Caj Pakir dan Waktu Operasi Baharu Perkhidmatan Kutipan Bayaran Letak Kereta di Bawah Kawasan Pentadbiran MBMB di Banda Hilir di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Azmi Hussain dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Tey Kok Kiew.

Sementara itu, Azmi berkata, setiap bulan MBMB memperoleh kutipan tempat letak kenderaan sebanyak RM340,000 dan ia akan sedikit berkurang kerana kita tidak akan kenakan bayaran pada hujung minggu.

“Buat masa ini hanya MBMB saja yang laksanakan perkara ini dan mungkin Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain akan turut laksanakan perkara ini,” ujarnya.

CATEGORIES