PERZIM teruskan inisiatif tarik pengunjung cintakan muzium

PERZIM teruskan inisiatif tarik pengunjung cintakan muzium

KANAK-kanak bergambar bersama selepas pertandingan tersebut.

BANDAR HILIR 1 Nov. – Sesetengah masyarakat menganggap muzium itu membosankan kerana seni binanya dari bangunan usang yang mempamerkan barang-barang lama.

Muzium boleh dikatakan sebagai destinasi pilihan terakhir apabila bercuti berbanding taman tema dan pusat pelancongan lain yang berkembang seperti cendawan tumbuh.

Bagaimanapun, di Melaka Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) terpanggil untuk menjadikan muzium sebagai satu destinasi yang harus dikunjungi apabila pelancong datang ke negeri ini.

Pengurus Besar PERZIM, Datuk Khamis Abas berkata, pelbagai inisiatif diadakan bagi memastikan masyarakat dari dalam dan luar negara menyedari kewujudan muzium di negeri ini.

Menurutnya, muzium perlu dijadikan sebagai destinasi lawatan berasaskan ilmiah dan bermaklumat.

“Pelbagai ilmu pengetahuan terdapat dalam muzium seperti sejarah, budaya, warisan, seni visual, seni bina dan lain-lain boleh dipelajari di muzium,” katanya.

Katanya, bagi memastikan usaha itu berjaya, PERZIM mengadakan Pertandingan Mewarna dalam kalangan kanak-kanak tadika bagi menyemai semangat cintakan muzium.

“Seramai 57 kanak-kanak tadika dari tiga buah sekolah menyertai pertandingan ini iaitu Tadika Kemas Limbongan A, Tadika Kemas Limbongan B dan Tadika Kemas Kampung Kolam yang diadakan di Muzium Samudera.

“Lukisan tersebut adalah gambar Panglima Awang yang merupakan seorang pelayar berbangsa Melayu yang pertama mengelilingi dunia,” katanya.

Khamis memberitahu, walaupun ia hanya pertandingan mewarna, tetapi kanak-kanak telah diberi penerangan mengenai Panglima Awang.

CATEGORIES