PERZIM rai pengunjung bertuah ke-600,000

PERZIM rai pengunjung bertuah ke-600,000

BANDAR HILIR 7 Nov. – Sempena cuti perayaan Deepavali, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) sempat meraikan pengunjung ke-600,000 tahun 2018.

Pengunjung bertuah tersebut ialah Appudurai, 38, dari Kuala Lumpur dan bekerja sebagai Pengurus Keselamatan dan Kesihatan di MRT Corp Malaysia.

Appudurai hadir di Muzium Sejarah dan Etnografi bersama isterinya, Ayesha, 34, yang bekerja sebagai guru tadika dan ibunya Ponnalagu, 77.

Appudurai berkata, ia merupakan kali pertama dia mengunjungi muzium tersebut untuk mengetahui lebih lanjut tentang Kesultanan Melayu Melaka dan zaman penjajahan dahulu.

Katanya, masyarakat perlu menjadikan muzium sebagai destinasi lawatan kerana terdapat pelbagai maklumat termasuk sejarah, kebudayaan dan warisan masyarakat khususnya di Melaka.

“Saya bersama keluarga berada selama dua hari di Melaka untuk melawat tempat-tempat yang menarik selain menziarahi kenalan sempena perayaan Deepavali,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PERZIM, Datuk Khamis Abas telah menyampaikan hadiah, buku PERZIM dan sijil penghargaan kepada Appudurai yang turut dihadiri Kurator Kompleks Muzium Sejarah & Etnografi, Noor Azimah Md. Ali.

CATEGORIES

COMMENTS