Perutusan Majlis Agama Islam Melaka 2019

Perutusan Majlis Agama Islam Melaka 2019

Bismillahirrahmanirrahim…..

SEGALA puji bagi Allah Tuhan yang Maha Mengurniakan segala rezeki buat hambaNYA di atas perencanaanNYA yang dilimpahi Kasih dan Sayang Sang Pencipta kepada yang diciptakan. Selawat dan salam buat Rasul Junjungan Nabi Muhammad S.A.W., Penghulu segala Nabi dan Rasul, yang baginya segala kemuliaan dan kedudukan yang terpuji, yang Engkau(Allah SWT) telah janjikan, semoga para Ummul Mukminin, ahli baginda, serta mereka yang mengikuti dan mengamalkan ajaran serta suruhannya pada masa lalu, hari ini sehinggalah ke hari kiamat akan sentiasa berada dalam redha dan pemeliharaan Allah SWT.

Alhamdulillah, pada tahun baru 2019 ini, kita masih diizinkan oleh Allah SWT untuk meneruskan usaha dan mujahadah untuk meninggikan syiar Allah dan Sunnah NabiNYA, seterusnya memastikan tanggungjawab untuk mendaulatkan Islam sebagai agama “Rahmatan Lil ‘Alamin” dilaksanakan dengan sebaik dan seikhlas yang mungkin.

Pastinya, tahun 2019 ini perlu memberikan makna dan pencapaian yang lebih baik kepada Majlis Agama Islam Melaka. Oleh itu, saya dengan rendah hati, menyeru dan mengajak warga kerja MAIM untuk menghayati dan melaksanakan misi MAIM yang baharu iaitu pencapaian P2K seperti berikut:

i) Pendidikan:

Warga MAIM diseru untuk meletakkan ilmu (pendidikan) sebagai keutamaan dalam meningkatkan prestasi kerja. Peningkatan prestasi yang dipacu oleh peningkatan ilmu pasti akan menjamin kemajuan yang istiqamah. Selain mengukuhkan pengetahuan setiap anggota kerja dengan ilmu pekerjaan, MAIM juga akan memfokuskan pengukuhan ilmu kepada asnaf di semua peringkat terutamanya generasi kedua asnaf yang dilihat lebih berpotensi digilap dan dijana untuk mengubah tahap hidup dan pendapatan keluarga pada masa depan seterusnya meningkatkan keberkesanan program peningkatan pendapatan asnaf secara konsisten.

ii) Kebajikan:

MAIM akan berusaha untuk menambahbaik skim bantuan yang disediakan kepada asnaf agar elemen kebajikan yang ditumpukan akan memberi kesan secara positif meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi asnaf. Setiap skim bantuan sedia ada akan dikaji keberkesanannya dan akan ditambahbaik agar penawaran seiring dengan keperluan.

Dan untuk memastikan perkhidmatan MAIM akan ditambahbaik secara tuntas, kebajikan anggota perkhidmatan MAIM juga akan ditingkatkan khususnya yang melibatkan aspek perjawatan dan kemudahan yang disediakan kepada pegawai agar mereka selesa untuk melaksanakan perkhidmatan terbaik kepada asnaf.

iii)Korporat:

MAIM seterusnya akan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menjamin tadbir urus yang lebih kompeten dan cemerlang seterusnya menjamin penyampaian perkhidmatan yang berkesan. Kekemasan langkah kerja dan proses kerja yang lebih efisyen adalah tonggak yang akan mendorong organisasi MAIM ke arah tahap prestasi yang terbaik. Penilaian berterusan akan dibuat kepada keseluruhan aktiviti teras dan elektif jabatan agar prestasi MAIM akan dapat ditingkatkan secara total dan memberi impak kepada umat Islam khususnya golongan asnaf yang memerlukan.

Apabila ketiga-tiga misi ini dapat dijana dengan baik dan tercapai, maka ia akan memastikanvisi MAIM untuk menjadi agensi kerajaan negeri yang terbaik di negeri Melaka menjelang tahun 2021 dapat direalisasikan.

Pencapaian visi dan misi yang murni ini hanya akan dapat dicapai dengan mudah apabila setiap anggota kerja MAIM menanamkan kesediaan untuk berubah. Berubah dan berusaha untuk menjadikan MAIM lebih cemerlang dan menyumbang kepada peningkatan sahsiah dan ekonomi ummah secara keseluruhan. Kejayaan menepati sasaran visi dan misi ini hendaklah dijana oleh sikap yang komprehensif dan responsif kepada kehendak persekitaran selain semua ini mestilah dipengaruhi secara serentak. Bagaimanakah perubahan ini boleh dilaksanakan?

Setiap pegawai dan anggota perkhidmatan MAIM hendaklah peka kepada kehendak dan perubahan persekitaran dan meletakkan perkhidmatan kepada masyarakat pada tahap sesuai dengan keadaan pada masa perubahan itu dilakukan. Ini akan menjadikan pengurusan pentadbiran MAIM lebih berwibawa, cekap dan berkesan selain sentiasa melaksanakan proses transformasi yang konsisten dan istiqamah.

Pengurusan MAIM juga akan mengadaptasi Model Newman dalam pengurusan organisasinya. Teori yang berasaskan kepada reaksi hubungan individu terhadap tahap tekanannya, kemudian bertindak balas secara positif terhadapnya dan sentiasa mengenalpasti faktor penyesuaian yang dinamik untuk memastikan individu atau organisasi itu dapat berkembang dengan baik dan membuat penyesuaian yang berkesan kepada kehendak persekitaran. Model yang signifikan dengan perancangan strategik organisasi ini akan melihat secara kritikal elemen pencairan, perubahan dan pembekuan aktiviti organisasi. MAIM juga akan mengenalpasti garis rintangan, garis pertahanan biasa dan garis pertahanan fleksibel agar sumber tenaga ini membantu MAIM untuk bertahan dengan baik kepada sumber tekanan yang menghimpitnya, respon secara seimbang kepada persekitaran dan boleh menjadi dinamik kepada kehendak persekitaran dalam masa yang singkat.

Selain itu, saya juga akan berusaha menjadikan MAIM organisasi yang bergerak secara individu dan organisasi melalui kaedah dan pendekatan yang kolektif serta emosi yang cenderung untuk menerima, merangkul dan menerima pakai perancangan perubahan yang dipersiapkan untuk mengubah masa kini kepada masa depan yang lebih baik.

Kesemua usaha ini akan digerakkan melalui penekanan kepada empat konteks yang utama iaitu:

i) Kepuasan bekerja:

Menyediakan fleksibiliti dan keselesaan penjanaan kreativiti bekerja agar setiap anggota kerja dapat mencapai kepuasan dalam pekerjaan yang dilaksanakan serta dapat merasakan bahawa pihak pengurusan sentiasa peka kepada keperluan dan kebajikan mereka.

ii) Mengurangkan Ketidakpastian:

Melalui penganalisaan pencapaian objektif kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan secara berterusan, organisasi akan dapat mengurangkan ketidakpastian dalam pengurusan dan seterusnya memudahkan semua anggota perkhidmatan memahami matlamat organisasi dan melaksanakannya.

iii)Komitmen:

Menggarap komitmen pengurusan dan anggota organisasi secara kolektif secara mesra dan berkesan untuk memastikan visi MAIM untuk menjadi agensi kerajaan yang terbaik menjelang tahun 2021 mudah direalisasikan.

iv) Perubahan Kesediaan:

MAIM perlu menjana tenaga kerja yang bersemangat dan berobjektif melakukan perubahan secara holistik dan komprehensif dalam usaha menjulang tadbir urus agama yang lebih mapan dan strategik.

Akhir sekali, saya berdoa kepada Allah supaya segala perencanaan yang dibuat ini dipermudahkan pelaksanaannya serta diberkati agar keringat yang dizahirkan menepati kehendak ubudiyyah dan diterima sebagai bekalan yang berkat untuk ke syurga. Saya juga menyeru kerjasama semua anggota kerja Majlis Agama Islam Melaka untuk berusaha dan bekerja bersama-sama dengan saya untuk memastikan MAIM terus relevan dengan keperluan ummah dan sentiasa bertindak balas secara signifikan kepada semua kehendak persekitaran. Sesungguhnya, usaha bersama secara berjemaah adalah amalan yang disukai oleh Allah dan dengan kesatuan hati untuk melakukan islah dan transformasi organisasi secara berterusan akan membantu menjadikan organisasi ini menjadi lebih baik daripada hari ini demi untuk kesinambungan kecemerlangan dakwah Baginda Nabi Muhammad SAW untuk meletakkan Islam sebagai “Rahmatan Lil ‘Alamin”.

Sekian, terima kasih.

HAJI AZMAN BIN HAJI AZIZ

SETIAUSAHA MAJLIS AGAMA ISLAM MELAKA

433 Shares
CATEGORIES