PERPUSTAM sedia jalin kerjasama pintar bersama sekolah

PERPUSTAM sedia jalin kerjasama pintar bersama sekolah

BATU BERENDAM 11 Feb. – Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) sedia memberi kerjasama kepada sekolah yang memerlukan khidmat nasihat.

Ianya dengan menjalinkan program perkongsian pintar dalam usaha melahirkan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat.

Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, PERPUSTAM punyai unit yang memberikan khidmat nasihat dalam bidang kepustakawanan dan literasi maklumat bagi membantu mana-mana pihak.

Katanya, ia khusus kepada pihak sekolah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, menerusi perkongsian pintar itu, ia akan membolehkan sesebuah sekolah itu dapat memberi perkhidmatan terbaik serta memantapkan pengurusan pusat sumber sekolah selain memberi kemahiran maklumat kepada pelajar.

“Selain memberi perkhidmatan khidmat nasihat, melalui program perkongsian pintar ini, PERPPUSTAM juga menyediakan perkhidmatan pinjaman kelompok kepada pihak sekolah untuk menampung kekurangan buku-buku di pusat sumber sekolah di seluruh negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa, Program NILAM dan Frog VLE di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munsyi Abdullah (SMKMA) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengetua SMKMA, Yusof Othman dan Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran SMKMA, Muner Jalil.

Mohamed Aizammuddy turut memuji langkah diambil pengurusan SMKMA menganjurkan tiga program dalam satu masa itu kerana ia akan menghasilkan pelajar yang bukan sahaja banyak membaca, tetapi mempunyai kemahiran membaca yang baik.

Jelasnya, program itu juga adalah satu usaha yang jitu dan perlu diteruskan dari semasa ke semasa kerana pelajar yang lahir dari program NILAM merupakan aset bagi sesebuah sekolah dan mampu memberikan pengaruh dan persekitaran yang baik kepada pelajar lain.

“Program ini juga seiring dengan pelancaran Kempen Dekad Membaca Kebangsaan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik dengan matlamat memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Ini sekali gus menyahut dan menjayakan seruan kerajaan dalam memupuk minat membaca dari kalangan usia muda untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030,” katanya.

CATEGORIES