Perpecahan ummah akan melarat jika tidak hormat perbezaan agama

Perpecahan ummah akan melarat jika tidak hormat perbezaan agama

Abdul Ghani menunjukkan Anugerah Tokoh Ilmuan Islam (Anugerah Imam As-Syafie) yang disampaikan Mohd Khalil bersama Latifah Mahmood pada Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah tahun 2018 di MITC, sebentar tadi.

AYER KEROH 20 Sept. – Perpecahan kaum di negara ini mungkin menjadi lebih teruk pada masa depan, jika masyarakat tidak lagi menyantuni perbezaan agama di negara ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, keperluan menyantuni perbezaan kini dilihat makin mustahak kerana kurangnya pengamal agama terutamanya umat Islam yang tidak mengamalkan tuntutan agama di dalam al-Quran.

Katanya, umat Islam hari ini perlu mencontohi sikap Rasulullah SAW yang membawa Islam sebagai Islam agama Rahmatan Lil Alamin melalui dakwah selama 23 tahun yang sentiasa berlemah lembut dalam menyampaikan Islam, suka menolong dan penuh dengan sifat belas kasihan, merapati golongan daif, fakir dan miskin serta mereka yang lemah dan sering ditindas.

“Keperluan menyantuni umat hari ini dilihat sebagai satu keperluan mendesak.  Ini kerana, ketiadaan adab dalam menyantuni masyarakat berbeza agama dan bangsa hanya mendatangkan kesan buruk pada masa hadapan.

“Dakwah mesti dilakukan dalam keadaan menjinakkan sasaran dengan tutur kata yang lemah lembut dan menjauhi sikap kasar,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan & Penyampaian Anugerah Maal Hijrah 1440 Peringkat Negeri Melaka
Bagi Tahun 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Adly berkata, penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab semasa berdakwah merupakan strategi komunasi terbaik selain memberi gambaran akhlak terpuji seseorang penganut agama.

“Begitu juga dengan prinsip kesantunan yang meliputi segenap aspek sesuai dengan sifatnya yang syumul iaitu lengkap dan mencakupi pelbagai bidang.

“Kitab suci al-Quran tidak mengabaikan bidang bahasa dalam mengutarakan prinsip-prinsip kesantunan bahasa bahkan ia bertepatan dan relevan dalam konteks kaitannya dengan definisi santun berbahasa iaitu  kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan beradab kepada teman bicaranya,” katanya.

Hadir sama, Yang diPertua Negeri, Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob dan Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd. Rafiq Naizamohideen

Terdahulu, Mohd Khalil telah menyampaikan sembilan penerima anugerah tokoh Maal Hijrah tahun ini.

Mendahului senarai, penerima Tokoh Ilmuwan Islam (Anugerah Imam As-Syafie), Abdul Ghani Samsudin; Tokoh Anugerah Mithali (Anugerah Keluarga Sumayyah dan Yasir), Datuk Mazlan Abdullah dan Datin Azizah Hussin; Tokoh Perkhidmatan Awam (Anugerah Umar Abdul Aziz), Mohammad Nawi Abu Bakar; Tokoh Usahawan Islam (Anugerah Abdurrahman Auf), Datuk Mohd Said Osman; Tokoh Penggerak Masyarakat (Anugerah Mu’adz Jabal), Datuk Dr. Ghazali Othman.

Diikuti, Anugerah Aktivis Muslim ( Anugerah Salman Al-Farisi), Abdul Rauf Abdullah; Anugerah Belia Islam (Anugerah Ali Abi Talib), Muhammad Firdaus Bakrin; Anugerah Pengurusan Masjid Terbaik (Kariah), Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil dan Anugerah Pengurusan Surau Terbaik (Kariah), Surau Nur Iman Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah.

129 Shares
CATEGORIES
TAGS