Perkhidmatan bas percuma diteruskan

Perkhidmatan bas percuma diteruskan

BANDARAYA MELAKA 5 Dis. – Sambutan warga Melaka terhadap perkhidmatan bas percuma yang disediakan kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Panorama Melaka bermula 20 Ogos lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, setakat 31 November 2018, lebih 30,057 orang telah menggunakan perkhidmatan bas percuma tersebut.

Katanya, ini menunjukkan purata jumlah sebulan penumpang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu mencecah lebih 9,000 penumpang.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 73.85 peratus yang menggunakan perkhidmatan itu merupakan warga negara, manakala 26.15 peratus bukan warga negara.

“Penumpang bukan warga negara akan dikenakan bayaran tambang,” katanya selepas meninjau pengoperasian perkhidmatan bas percuma di Terminal Bas Melaka sentral di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya berpuas hati dengan mutu perkhidmatan disediakan Panorama Melaka sejak ia dilancarkan.

Dan akan meneruskan program ini kerana terbukti ia sedikit sebanyak mampu menjaga kebajikan rakyat terutama setiap hari berulang alik ke tempat kerja.

“Jika permintaan penumpang semakin rancak dan Panorama mampu memberi perkhidmatan percuma, tidak mustahil kita akan kembangkan perkhidmatan bas ini ke laluan lain,” ujarnya.

Perkhidmatan bas percuma yang dilaksanakan kerajaan negeri dengan peruntukan RM1.3 juta itu telah dilancarkan Ketua Menteri, Adly Zahari pada 20 Ogos lalu.

282 Shares
CATEGORIES