Perkasa kebajikan ahli : Insentif buat pemandu teksi berdaftar

Perkasa kebajikan ahli : Insentif buat pemandu teksi berdaftar

AYER KEROH 11 Jan. – Kerajaan negeri akan memberi insentif kepada Persatuan Pemandu Teksi Melaka bagi menjaga kebajikan ahlinya.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd Sofi Wahab berkata, insentif itu akan diberi dalam masa terdekat melibatkan semua 16 persatuan pemandu teksi di negeri ini yang berdaftar melibatkan keahlian lebih 1,000 orang.

Pada masa sama, kerajaan negeri juga sedang berusaha membuat caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kalangan ahli Persatuan Pemandu Teksi sedia ada.

“Usaha ini dilihat mampu meringankan beban keluarga ahli persatuan terbabit sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan dan tidak mampu menyara keluarga.

“Kerajaan negeri sentiasa terbuka dengan apa juga pandangan, kritikan, pandangan dan cadangan dari rakyat termasuk persatuan-persatuan sedia ada.

“Ianya demi meningkat dan menambah baik urusan pentadbiran demi kebaikan rakyat termasuk kebajikan ahli-ahli persatuan masing-masing,” katanya.

Mohd Sofi berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Lori Pengangkutan sempena Ulang Tahun Ke-5 Persatuan Pemilik Lori Tipper Dumper & Simen Mixer Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemilik Lori Tipper Dumper & Simen Mixer Melaka, Koh Bing Liyong, Naib-naib Pengerusi serta jawatankuasa persatuan terbabit.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut menyalurkan insentif kepada Persatuan Pengayuh Beca Melaka.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sofi berkata, kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan Projek Lebuh Raya Utara selatan (PLUS) dan Persatuan Pemandu Lori Melaka bagi menyelesaikan isu pemandu lori yang meletakkan lori mereka di bahu lebuh raya.

“Apa yang kita lihat, masalah ruang parkir kenderaan berat seperti lori di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) di Lebuh Raya Plus mencukupi, namun terdapat pemandu-pemandu keletihan dan ada masanya pemandu tidak sempat hendak parkir di tempat yang disediakan.

“Pada masa sama, kita juga telah meminta persatuan-persatuan pemandu lori ini mengadakan kursus-kursus kesedaran kepada pemandu lori supaya mereka sedar tentang kepentingan meletakkan lori mereka di parkir yang sebenar bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” tegasnya.

221 Shares
CATEGORIES