Peranan zakat akan diperkasakan

Peranan zakat akan diperkasakan

BANDAR HILIR 5 Dis. – Kerajaan negeri akan mewujudkan Perbadanan Zakat Melaka (PZM) dalam usaha memperluas serta membesarkan lagi peranan dan fungsi PZM.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, bagi tujuan itu, satu jawatankuasa akan diwujudkan pada Januari ini bagi merealisasikan PZM.

Katanya bagaimanapun, ia masih dalam pertimbangan dan usaha mewujudkan PZM ini diharap menjadi kenyataan pada tahun hadapan.

Ujarnya, kewujudan PZM bagi memperkasakan lagi peranannya termasuk agihan pendapatan diperolehi dalam usaha membantu lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat di negeri ini.

“Kerajaan negeri yakin pengurusan zakat dapat dipertingkatkan menerusi PZM kerana proses pengurusan zakat yang telus dapat menjadikan matlamat pengagihan zakat sebagai sebahagian instrumen kebajikan dalam sistem Islam,” katanya.

Adly berkata demikian kepada media selepas merasmikan World Zakat Forum Ke-7 (WZF-7) di Hotel Equtorial di sini, hari ini.

Forum bertemakan ‘Strengthening Global Zakat Cooperation in Increasing the Welfare of the Ummah’ itu turut dihadiri Setiausaha Agung WZF, Prof. Dr. Bambang Sudibyo; Pengerusi Jawatankuasa WZF, Prof. Dr. Abd. Halim Mohd Noor serta 300 degelasi dari 26 buah negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Adly berkata, hampir RM70 juta berjaya dikutip Zakat Melaka (ZM) antara Januari sehingga November 2018 lalu.

“Saya jangkakan, jumlah tersebut akan meningkat serta mencapai sasarannya sehingga hujung tahun ini iaitu RM87 juta.

“Dari semasa ke semasa, kita akan pertingkatkan lagi pengurusan Zakat Melaka dan sedang memuktamadkan kaedah pengagihan zakat ini.

“Selain akan memaklumkan kepada masyarakat secara umum berkaitan ke mana sebenarnya hasil kutipan zakat ini dibelanjakan, selewat-lewatnya pada Februari 2019 nanti,” jelasnya.

104 Shares
CATEGORIES