Pengaruh iklan ‘Online’, rakyat Malaysia antara keldai seludup rokok

Pengaruh iklan ‘Online’, rakyat Malaysia antara keldai seludup rokok

SINGAPURA 8 Feb.- Seramai 25 pemandu termasuk rakyat Malaysia ditahan Kastam Singapura pada tahun lalu kerana menjadi keldai menyeludup rokok yang tidak dibayar duti.

Kebanyakan dari mereka terpikat dengan iklan dalam talian untuk melakukan perbuatan itu dengan dibayar kadar upah tertentu.

Iklan dalam talian itu menerusi platfom media sosial seperti Facebook dan WeChat biasanya menawarkan upah antara S$100 (S$1=RM3.005) dan S$600 bagi setiap perjalanan penyeludupan ke Singapura.

Kesemua 25 pemandu yang ditahan itu telah dihukum penjara antara 10 minggu dan enam bulan oleh mahkamah negeri.

Kastam Singapura berkata, kes yang melibatkan rakyat Malaysia berumur 25 tahun, Ku Kai Chien, pesalah itu telah menjawab iklan dalam Facebook dan dia disuruh memandu van kepunyaannya ke satu lokasi di Malaysia bagi sindiket itu memuatkan rokok ke dalam kenderaan tersebut.

Dia kemudian disuruh memandu van itu ke Singapura dan jika berjaya menyeludup rokok berkenaan dia akan menerima upah S$400.

Bagaimanapun, Kai Chien telah ditangkap di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 21 Mac 2018 dengan sejumlah 201 karton dan 790 paket rokok tanpa duti yang ditemui dalam beberapa ruang yang diubahsuai di dalam van tersebut.

Rokok seludup serta van dirampas manakala duti rokok dan GST yang cuba dielakkan masing-masing berjumlah S$23,910 dan S$1,750.

Pada 9 Julai 2018, Kai Chien dihukum penjara enam bulan oleh mahkamah negeri kerana menyeludup rokok yang tidak dibayar duti ke republik itu.

Sehubungan itu Penolong Ketua Pengarah Kastam Singapura (Risikan dan Penyiasatan) Yeo Sew Meng dalam laman webnya berkata “Pemandu yang berharap dapat wang yang cepat dan mudah dengan menyeludup rokok yang tidak dibayar duti ke Singapura harus berfikir dua kali. Mereka akhirnya akan membayar harga yang tinggi jika tertangkap”.

“Kami menasihatkan orang ramai agar tidak menjadi mangsa iklan atas talian itu. Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyahut tawaran iklan atas talian itu untuk menyeludup rokok ke Singapura,” kata Yeo.

– BERNAMA

CATEGORIES