Penerbangan ke Langkawi, Kota Bharu Mac depan – Mohd Sofi

Penerbangan ke Langkawi, Kota Bharu Mac depan – Mohd Sofi

AYER KEROH 6 Feb. – Bemula 1 Mac ini, syarikat penerbangan premium, Malindo Air akan memperkenalkan dua laluan baharu menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, ke Langkawi dan Kota Bharu, Kelantan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Malindo Air Melaka beberapa hari lalu.

Katanya, menerusi persetujuan itu, Malindo Air akan mengadakan penerbangan sebanyak tiga kali seminggu di kedua-dua laluan baharu tersebut iaitu setiap Rabu, Jumaat dan Ahad.

“Laluan dari Kota Bharu ditetapkan pada pukul 11.55 pagi dan dijangka tiba di LTAM pada pukul 1.30 petang manakala penerbangan dari LTAM pula adalah pada pukul 1.50 petang dan tiba di Kota Bharu pada pukul 3.15 petang.

“Bagi laluan dari Langkawi pula bermula pukul 12.05 tengah hari dan tiba di LTAM pada pukul 1.45 petang manakala dari LTAM pula pada pukul 2.05 petang dan tiba di Langkawi pada pukul 3.45 petang,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan perkembangan terbaharu penerbangan di LTAM, di MITC, di sini , tadi.

Jelasnya, ketika ini, LTAM hanya menggunakan kira-kira empat peratus penggunaan lapangan terbang tersebut iaitu menerusi syarikat Malindo Air yang mengadakan penerbangan ke Pekan Baru, Indonesia dan Pulau Pinang.

Menurut Mohd. Sofi, kerajaan negeri mengalu-alukan langkah diambil oleh Malindo Air itu kerana ia bertepatan dengan program Tahun Melawat Melaka (TMM) 2019 yang sedang berlangsung pada tahun ini.

“Kita harap dua laluan baharu ini membantu menarik lebih ramai pelancong ke Melaka khususnya mereka yang datang ke Langkawi dan Kota Bharu untuk singgah ke Melaka.

“Untuk itu kerajaan negeri dengan bantuan portfolio Exco Pelancongan, Bahagian Promosi Pelancongan serta semua pemain sektor itu akan sentiasa berusaha mewujudkan sesuatu yang menarik mengenai Melaka supaya lebih ramai pelancong akan berkunjung ke negeri ini,” katanya.

4.06K Shares
CATEGORIES
TAGS