Penduduk mohon turap jalan  masuk ke Kampung Tersusun

Penduduk mohon turap jalan masuk ke Kampung Tersusun

PEMBINAAN longkang oleh pemaju menambah burukkan lagi keadaan.

JASIN 25 Okt. – Penduduk Kampung Tersusun, Lipat Kajang milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengharapkan keprihatinan agensi terbabit bantu menyelesaikan masalah jalan masuk dan perparitan di kampung berkenaan.

Wakil penduduk, Mohd Azis Samsuri yang telah menetap di kampung terbabit lebih tiga tahun lalu kecewa kerana jalan sedia ada hanya turapan kasaran dan tidak diturap tar sehingga kini.

Katanya, sistem perparitan di kampung itu juga tidak dibuat sehingga kini walaupun telah dijanjikan agensi terbabit semasa proses pembelian lot tanah.

Ujarnya, lebih memburukkan, jalan tersebut digunakan oleh kenderaan berat untuk menghantar bahan binaan di tapak projek perumahan terletak bersebelahan kawasan terbabit.

Jelasnya, keadaan bertambah buruk apabila pemaju projek terbabit membuat longkang yang merentasi laluan utama menyebabkan jalan sedia ada bertambah rosak dan berlubang.

“Aduan juga dibuat kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan MAIM pada 2017 lalu, namun hingga kini masih tiada tindakan walaupun kedua-dua agensi terbabit telah menghantar pegawai melihat permasalahan dihadapi penduduk,” katanya.

Mohd Azis, 51, memberitahu, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Roslan Ahmad ada menyumbang dua lori batu kasaran di kawasan agak teruk, namun masalah dihadapi masih tiada kesudahannya.

“Diharap, pihak berkaitan dapat bantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk demi kelangsungan hidup kami di kampung ini,” rayunya.

 

CATEGORIES