Pemain import bebas ‘penyakit’

Pemain import bebas ‘penyakit’

Melaka United (MU) memberi jaminan tiada pemain import ‘berpenyakit’ yang dibawa masuk musim ini.

Pengurus Pasukannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, kesemua pemain import yang sedang diuji ketika ini bebas dari kecederaan sementara dan kekal.

Katanya, pemeriksaan lengkap seratus peratus telah dibuat ke atas pemain sebelum mereka diuji di MU dan beliau turut memberi jaminan tragedi kecederaan melibatkan tonggak pemain import tidak akan terjadi seperti apa yang berlaku beberapa musim lalu.

“Semua pemain import yang dibawa masuk bebas seratus peratus dari sebarang kecederaan kekal dan sementara.

“Kita telah buat pemeriksaan seratus peratus terhadap mereka.

“Namun, saya berharap mereka tidak mengalaminya (kecederaan) semasa perlawanan pra-musim ini, jika berlaku sekali pun bukan kerana mereka itu dibawa masuk dalam keadaan kurang cergas tetapi, kecederaan dialami semasa perlawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab kepada kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari yang enggan MU menawarkan kontrak kepada pemain yang mempunyai sejarah kecederaan lampau dikhuatiri menjejaskan persiapan kelab menjelang saingan Liga Malaysia 2019 (Liga-M 2019).

Adly dalam kenyataan tempoh hari berkata, MU perlu menapis pemain import yang sedang diuji dari pelbagai aspek dan menggelakkan mengambil pemain yang memiliki rekod kecederaan lampau terlalu kerap, dikhuatiri menjejaskan persiapan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) serta menggunakan bajet RM18 juta musim ini sebaiknya.

“Kita tidak mahu pemain import yang cedera, itu saja, belum main (sebelum saingan Liga-M 2019 bermula) dah cedera itu maksud saya.

“Perkara itu telah pun di’highlight’kan dalam MUSA dan kaedah pemilihan itu perlu dibuat dengan teliti supaya pemain import yang dipilih dapat menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Antara pemain yang memiliki rekod kecederaan lampau dan pernah ditandatangani MU adalah, Jeon Woo-Young, Lee Chang Hoon, Sergio Aguero, Omid Nazari dan lain-lain dalam beberapa musim yang lalu.

345 Shares
CATEGORIES
TAGS