Pelanggaran dua kenderaan : Pemandu lori tangki cedera

Pelanggaran dua kenderaan : Pemandu lori tangki cedera

JASIN 10 Jan. – Seorang pemandu lori tangki, Sharul Fazli Ismail, 39, cedera dalam kemalangan di Kilometer 183.7 Lebuhraya Utara (arah Selatan), awal pagi tadi.

Lori tangki dipandu Sharul yang membawa muatan simen itu dikatakan telah merempuh lori treler dipandu Abd. Rashid Asahari, 37, dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi selepas lori dipandu Abd. Rashid berhenti rehat di Hentian Rehat Kampung Bemban, di sini.

Katanya, treler dipandu Abd. Rashid ketika itu sedang membawa muatan susu pekat dalam perjalanan dari Kapar, Klang.

“Sebaik lori dipandu Abd. Rashid menyusur keluar dari hentian tersebut, tiba-tiba sebuah lori tangki yang datang dari arah Gopeng, Perak menuju ke Kota Tinggi, Johor dikatakan telah menukar laluan dan melanggar treler tersebut dari belakang.

“Akibat pelanggaran itu, Sharul telah tersepit dan cedera di bahagian kaki,” katanya terpaksa menggunakan khidmat bomba untuk mengeluarkan mangsa.

Bagaimanapun, katanya, pemandu treler tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen Rule 6 (2) LN 166/59 – Kesalahan Menukar Laluan Semasa Memandu.

CATEGORIES